berantas

[Indonesia] ;

memberantas membanteras;

pemberantasan perihal (tindakan, usaha dan sebagainya) memberantas:
~ buta huruf.

berani II

batu ~ = besi ~ besi yang mempunyai tenaga untuk menarik besi lain (mengandungi kuasa elektrik);

= semberani II.

berani I

1. gagah (bukan pengecut), perkasa:
adikku ialah seorang yang ~;

2. tidak takut, tabah menghadapi bahaya (kesulitan dan lain-lain):
fikiran ini tidak ada orang yang ~ menafikan;
~ lalat
berani di belakang lawan (kalau berhadapan takut);
~ mati tidak takut mati;
~ udang tidak tetap hati, cemas hati;
barisan (pasukan) ~ mati tentera yang berani mengorbankan jiwanya;
~ hilang tak hilang, ~ mati tak mati (peribahasa) mengerjakan sesuatu hendaklah dengan keberanian;
~ malu, takut mati (peribahasa) pengecut;
~ menjual, ~ membeli (peribahasa)
a) apa-apa yang dikerjakan (dikatakan), hendaklah ditimbang-timbang (jangan mengenai orang lain);
b) tidak saja mahu menyuruh, mengerjakan pun mahu juga;
~ pegang, ~ tanggung = barang siapa ~ mengamang, tak dapat tidak melawan (peribahasa) tiap-tiap yang dicakapkan akan berani pula dikerjakan;

memberanikan
1. memberangsangkan, menggalakkan:
kemenangan itu ~ lagi orang-orang Islam;

2. = memberani-beranikan menjadikan (diri sendiri) berani, membuat (memaksa diri) supaya berani:
Saya tidak akan bimbang dengan tidak bersebab, katanya dengan hati yang diberani-beranikan;

keberanian kegagahan, keperkasaan:
dia mendapat pangkat itu dengan ~ dan pengorbanan;

pemberani sangat berani, orang yang sangat berani.

berangus

[Indonesia] salut muncung anjing (agar tidak dapat menggigit), berongsong;

memberangus
1. membungkus muncung anjing dengan berangus, memberongsong;

2. [kiasan] melarang akhbar diterbitkan, melarang orang bercakap (menyatakan pendapat);

pemberangusan perihal (perbuatan, tindakan) memberangus.

berangsang

memberangsang amat marah, menunjukkan kemarahan (seseorang), memarahi:
Awak ini betul bodoh, ia ~ ke telinga orang itu;

memberangsangkan
1. membangkitkan keberanian (semangat dan lain-lain), memberanikan:
ia sukacita mendengar kata-kata tabib yang ~ hatinya;

2. membangkitkan kemarahan (perasaan marah);

pemberangsang
1. pemarah;

2. minuman (makanan) untuk memberangsangkan;

= rangsang I.