didih

mendidih;
berdidih
ark
1. meruap atau meluap-luap kerana dipanaskan, menggelegak:
air di dalam kawah itu sedang ~;

2. [kiasan] marah sekali (berkenaan (dengan) perasaan):
Hayati makin radang, ~ rasa darahnya;

3. [kiasan] berkobar-kobar, meluap-luap, berapi-api (berkenaan (dengan) semangat);

mendidihkan
1. memasak (memanaskan) air dan lain-lain hingga mendidih;

2. menjadikan berkobar-kobar (semangat):
keberaniannya menentang kezaliman itu ~ darah keperwiraan dalam jasad bangsanya;

pendidihan perihal atau proses mendidih(kan).

didik

1. pelihara, jaga (dengan hati-hati), ajar;
ayam ~ ayam yang tidak beribu (dipelihara daripada kecil);

2. [sastera lama] [bahasa dalam] anak-anak yang baru remaja:
harta yang Duli Tuanku kurniakan dahulu, sekarang sudah dihabiskan oleh ~ itu untuk bersuka ria;

mendidik menjaga (memelihara dan sebagainya) dan melatih (mengajar dan lain-lain) baik-baik:
~ kanak-kanak bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan;

terdidik mendapat latihan (pengajaran dan lain-lain), terlatih:
sebelum perang dahulu banyak mahasiswa kita yang ~ di tanah Inggeris;

didikan
1. kaedah mendidik:
salah ~ boleh merosakkan anak-anak apabila mereka besar kelak;

2. yang dididik (diajar, dilatih, dan lain-lain):
masa depan bagi kanak-kanak ~ sekolah Melayu kini terjamin;

3. = pendidikan;

pendidikan
1. perihal mendidik:
~ kanak-kanak cacat belum diperluas lagi di negara kita;

2. = ilmu ~, ilmu didik, ilmu mendidik pengetahuan mendidik:
ia mahu mendalami lagi pelajarannya dalam hal ~ kanak-kanak;

3. didikan, latihan, ajaran:
merosotnya moral pemuda-pemudi kita ialah kerana kurang mendapat ~ rohani ketika di bangku sekolah;

berpendidikan mendapat pendidikan (latihan):
kaum intelek Melayu yang ~ Barat masih ragu-ragu akan kemungkinan bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi;

pendidik orang yang mendidik, guru:
sekarang Ali bertugas sebagai ~ di sebuah sekolah di Kelantan;

kependidikan hal (sifat dan sebagainya) yang berkaitan dengan pendidik.

didong

1. [arkaik] orang Perancis, orang Eropah (asing);

2. peranakan, bercampur darah:
Belanda ~;

3. = komedi ~ ark sejenis wayang patung;

4. [arkaik] pertunjukan tari-menari dan muzik.

diesel

1. = enjin ~ = mesin ~ sejenis enjin pembakaran dalam yang nyalaannya dihasilkan oleh bahang daripada gas yang dimampatkan;
lokomotif ~ [Indonesia] kereta api berenjin diesel;

2. = minyak ~ minyak galian yang digunakan sebagai bahan api oleh enjin diesel.

diesius

(Biologi) berkenaan tumbuhan yang organ pembiakan jantan dan betinanya tidak terdapat pada pokok dan bunga yang sama.

diestrus

(Biologi) tempoh ketika tiada aktiviti pembiakan berlangsung bagi haiwan yang mempunyai beberapa kitar estrus dalam sesuatu musim membiak.

diet

1. makanan dan minuman yang biasanya diambil oleh sesuatu kumpulan, seseorang individu, atau seseekor binatang;

2. jenis dan banyaknya makanan yang ditetapkan untuk seseorang atau seseekor binatang untuk tujuan tertentu (seperti mengawal berat badan dan lain-lain): ~ seimbang;
pakar ~
pakar dalam kajian saintifik tentang pengambilan, penyediaan, dan pengawalan makanan;

berdiet makan dan minum mengikut peraturan yang ditetapkan:
dia terpaksa ~ untuk mengurangkan berat badannya.

dif

[Arab] jemputan atau tetamu khas dalam majlis:
segala ~ yang hadir telah mengambil tempat duduk masing-masing.