aniaya

perbuatan yang menyakiti atau menyeksa manusia atau binatang, kezaliman, penindasan, penyeksaan:
raja yang berbuat ~ akan dibenci rakyat;

menganiaya, menganiayai melakukan aniaya, menindas, menyeksa:
apabila seseorang perempuan dianiayai oleh suaminya, dia boleh meminta pertolongan daripada kadi;

teraniaya telah dianiayai, diseksa, ditindas:
fakir miskin tiadalah ~ di negeri itu;
Allah tetap berada di pihak yang ~;

penganiayaan perbuatan menganiayai, penyeksaan, penindasan:
dalam perlumbaan kuda, binatang itu menerima ~ juga;

penganiaya orang yang menganiayai, penyeksa, penindas.

animasi

1. perbuatan (proses, hasil daripada) menjadikan sesuatu kelihatan hidup;

2. seni atau proses menyediakan gambar-gambar kartun yang kelihatan hidup;

menganimasikan menjadikan sesuatu gambar (kartun dan sebagainya) kelihatan bergerak atau hidup:
gambar kartun yang dianimasikan;

penganimasian perihal (perbuatan atau proses) menganimasikan.

animis

yang menganut atau berpegang pada animisme:
orang-orang ~ di pedalaman pulau Borneo.

animisme

kepercayaan bahawa setiap benda (batu, kayu, dan lain-lain) mempunyai semangat (roh).

animo

hasrat, keinginan, perhatian:
sangat kurang ~ untuk mendengar muzik klasik.

anis

[Indonesia] sejenis tumbuhan (herba), adas manis, adas cina, Anethum graveolens.

anja

[Minangkabau];

beranja-anja, teranja-anja manja;
masa kecil teranja-anja, sudah besar terbawa-bawa, lalu tua berubah tidak (peribahasa) apa yang biasa dikerjakan semasa kecil susah dapat diubah kalau sudah tua.