saham

modal sah syarikat yang dicarumkan oleh pemilik, syer:
~ syarikat telekomunikasi itu mendapat sambutan yang cukup besar daripada seluruh pelabur;
~ mewah
(Ekonomi) saham bermutu tinggi yang dapat memberikan pulangan dividen yang baik, biasanya saham syarikat yang besar dan terkenal;
pemegang ~ orang yang mempunyai saham sesuatu perniagaan.

sahaja

1. yang satu-satunya, cuma, hanya, melainkan:
tuan ~ yang dapat menolong saya;

2. selalu (demikian), terus (demikian):
ia mengeluh ~;

3. juga (demikian), juga (begitu):
muzik sama ~ mustahaknya dengan bahasa atau kesusasteraan;

4. barang … pun, sebarang:
apa ~;
siapa ~;
di mana ~;
bila ~;

5. dengan mudah, dengan senang:
disembelihnya ~ kijang yang tidak dapat berlari lagi itu;

6. -lah (sebagai anjuran), lebih baik:
makan ~ apa yang ada;

7. sangat (untuk mengeraskan kata sebelumnya), sekali:
mudah ~ mengalahkan orang itu;

8. sememangnya, memang:
~ sebenarnyalah pekerjaan seperti titah duli tuanku itu;

9. sengaja, dengan niat sendiri:
~ aku mengerjakan umrah dan ihram dengannya kerana Allah Taala;

10. seperti biasa (tidak ditambah-tambah):
dengan mata ~ dapat dilihat bintang itu;
~ bahasan
(peribahasa) sudah menjadi kebiasaan;

bersahaja, bersahaja-sahaja
1. sederhana (pakaian dan lain-lain), tidak ditokok tambah (dihiasi dan lain-lain), tidak secara berlebih-lebihan, biasa:
perayaan yang ~;

2. sewajarnya, tidak dibuat-buat (dipaksa-paksakan dan sebagainya):
watak-watak kelihatan hidup, bertindak mengikut pengaruh sekitar yang melingkunginya sehingga pertentangan yang ada menjadi ~ dan meyakinkan;

3. dalam keadaan kuno, primitif:
mereka itu dapat hidup di tengah-tengah rakyat yang masih ~ dalam hutan;

kebersahajaan sifat atau keadaan bersahaja:
~nya menyampaikan ceramah itu menarik perhatian pendengar;

menyahaja [sastera lama] melakukan sesuatu dengan sengaja:
bukan disahaja sebab akal budak;

menyahajakan
1. menyederhanakan, memudahkan;

2. melakukan dengan sengaja;

kesahajaan perihal sahaja, kesederhanaan;

persahajaan perihal bersahaja;

= saja.

sahabat

1. kawan, teman, taulan:
daripada banyak seteru, lebih baik banyak ~;

2. pengikut, murid;
~ nabi pengikut nabi;
~ handai = ~ kenalan sahabat-sahabat;
~ karib sahabat yang rapat (baik);
~ kita (beta) [bahasa halus] tuan (dalam surat raja-raja dahulu);
~ pena sahabat menerusi surat sahaja;

bersahabat berkenalan dan berbaik-baik, berkawan (dengan), berteman (dengan):
kita ~ dengan orang yang baik-baik;
Australia dan New Zealand merupakan negara-negara yang ~ baik dengan kita;
bagai ~ dengan ular bisa
(peribahasa) kalau berkawan dengan orang yang jahat, lambat-laun dianiayanya juga kita;
daripada ~ dengan orang yang bodoh, baik berseteru dengan orang berakal (peribahasa) tidak berfaedah bersahabat dengan orang yang bodoh;

bersahabatan berbaik-baik antara satu sama lain;

mempersahabatkan memperkenalkan supaya bersahabat, menjadikan bersahabat (orang yang belum berkenalan);

persahabatan perihal bersahabat:
~ kami sudah menjadi begitu erat sekali.

sah

1. lulus pada sisi undang-undang (adat, hukum, dan lain-lain), lawan batal (puasa, sembahyang, dan lain-lain):
sudah berkali-kali ia meminta menjadi isteri yang ~;
sembahyangnya tidak ~ kerana ia tidak bersuci;

2. benar, pasti, nyata:
jikalau ~ awan mengandung hujan, habislah basah gerangan nenek;
khabar yang ~
khabar yang benar;

mengesahkan
1. mengakui bahawa sesuatu benar, membenarkan:
beliau ~ ia akan berada di Tokyo selama empat hari;
pembuangan kamu telah disahkan oleh ketua pejabat;

2. memastikan, menetapkan:
kematian anak dalam kandungan itu dapat disahkan dengan gambar X-ray;

3. mengakui (dokumen, cek, perjanjian dan sebagainya) sah dengan menurunkan tandatangan dan sebagainya:
Presiden Mahkamah Syariah boleh ~ saman itu untuk disampaikan kepada pihak berkenaan;

kesahan perihal sah, sah tidaknya (sesuatu):
negara-negara Islam telah menjadikan persetujuan pihak yang berkahwin sebagai syarat ~ sesuatu perkahwinan;
~ perbandingan ini tidak dapat dibuktikan;

pengesahan perbuatan atau hal mengesahkan:
~ tentang kehilangan itu belum disiarkan lagi;

pengesah sesuatu (orang dan sebagainya) yang mengesahkan sesuatu.

sagun

sejenis makanan (kuih) yang diperbuat daripada tepung beras, kelapa, dan gula (kadang-kadang dicampur telur).