tahsil

[Arab] perihal mendapat atau memperoleh, pemungutan hasil (cukai, sewa, dan lain-lain).

tahsin

[Arab] hal memperelok dan memperindah bacaan al-Quran dari segala aspek seperti tajwid, lagu dan sebagainya:
beliau pernah menyertai majlis ~ al-Quran anjuran Jabatan Agama Islam.

tahu I

1. maklum akan keadaan sebenarnya, faham, mengerti:
entah kapal perang atau perompak tiadalah saya ~;
kita sudah ~ dahulu bahawa kacang soya yang bertunas atau bercambah itu banyak mengandungi vitamin C;

2. kenal (akan, pada), mengenal:
dia tidak ~ saudara-maranya;

3. cekap lagi pandai melakukan sesuatu), bijak:
maka sekalian orang pun hairan melihat ~ Seri Dewa Raja naik gajah itu;

4. mengambil peduli, mempedulikan, mengendahkan:
itu urusan engkau, aku tidak mahu ~;

5. sedar akan keadaan sebenarnya, insaf:
anak yang tidak ~ diuntung;

6. pernah (melakukan sesuatu), biasa, selalu:
dalam seratus orang tiada sepuluh yang ~ memakan daging;

7. menganggap sudah semestinya:
gurunya ~ siap sahaja segala kerja yang dibekalkannya;
~ adab
beradab;
~ adat mengerti sopan santun;
~ bahasa berbudi bahasa;
~ balas mahu membalas budi;
~ diri = ~ di untung sedar akan kedudukan dirinya;
~ senang mahukan segala-galanya senang;
~ timun [sastera lama] pandai menawar minuman yang beracun (mabuk dan lain-lain);
(tidak) ~ malu (tidak) ada perasaan malu;
~ sama ~
a) saling mengerti;
b) saling tidak mengganggu;
ambil (mengambil) ~
a) mengetahui (mendapati);
b) mempedulikan;
banyak ~nya banyak pengalamannya;
bawa (membawa) ~nya sendiri menurut fikirannya sahaja;
cari (mencari) ~ hendak mengetahui;
terlalu ~ sangat pandai;
~ makan ~ simpan (peribahasa) merahsiakan sesuatu hendaklah dengan sempurnanya;

setahu
1. sepanjang (sebanyak) yang dimaklumi:
maka kujawablah dengan ~ku;

2. dengan dimaklumi atau disaksikan oleh:
dengan tidak ~nya aku sering pergi ke rumah abangnya;

3. [bahasa percakapan] saya tidak tahu, entah;

tahu-tahu
1. dengan tidak disedari, akhirnya barulah diketahui bahawa, tiba-tiba:
~ tangannya sudah memulas telinga anak itu;

2. [sastera lama] pandai, bijak:
ada suatu perbuatan hikmat, patik peroleh daripada perajurit yang ~;

bertahu unjuk ~ = bertahukan [Jakarta] memberitahukan kepada;

bertahu-tahu
1. berpura-pura (berlagak) tahu;

2. [Minangkabau] (dengan) setahu;

bertahuan [sastera lama] berkenalan (dengan);

tahu-menahu;
tidak ~
a) tidak tahu apa-apa:
kami tidak ~ tentang pergolakan dunia;
b) tidak mempedulikan (mengendahkan), tidak ambil peduli:
ia berbuat seperti tidak ~ sahaja;
c) tidak kenal-mengenal:
aku persilakan tetamu naik sahaja, tanpa ~ siapa;

mempertahukan [arkaik] mempermaklumkan, memberitahukan;

tertahu [sastera lama] terkenal, termasyhur:
maka dua puluh hulubalang yang tertahu-tahu mati;

mengetahui
1. tahu akan, memaklumi:
Mak Konah sendiri masih belum ~ akan hal ini;
baru aku ~ akan sebabnya aku dipanggil;

2. tahu setelah melihat tanda-tanda atau buktinya, mengenali:
tidak sulit bagi kita untuk ~ binatang jenis mamalia ini;

3. mendapati, menginsafi, menyedari (akan):
waktu konsert itu habis dan Pri hendak bertepuk kerana gembiranya, barulah diketahuinya bahawa tangan kirinya sudah terkalung oleh tangan kanan Wati;

4. mengerti akan, memahami:
kata-katanya masih belum diketahui sepenuhnya oleh masyarakat bahasa Indonesia;

ketahuan
1. (sudah) diketahui, dikenali:
sejak mula sudah ~ bahawa kau bukan kuli kontrak sembarangan;

2. telah didapati, kedapatan, terbukti:
apabila diperiksa ~ pula bahawa si Bidin itu ialah anak Allahyarham Haji Hamdan;

3. terang, nyata, jelas:
tidak ~ apa hendak dibuatnya;tak ~ [Kedah] tidak siuman;

berketahuan tahu (mengerti) benar, tidak syak lagi, sahih:
tiada hambamu tahu kerana tempat Sita Dewi belum ada ~;
tidak ~
tidak keruan (menentu), kacau sekali;

pengetahuan
1. perihal mengetahui, apa-apa yang diketahui:
kisah serong yang dilakukan oleh Datuk ini sedikit sebanyak sampai juga ke ~ orang kampung;

2. perihal tahu, kepandaian, kebijakan:
biasanya orang yang ada ~ dalam ilmu sains kurang pula ~nya dalam bahasa Melayu;

3. = ilmu ~ segala yang (akan) diketahui atau dipelajari berkenaan sesuatu:
telah kukuasai ~ tentang falsafah dengan mudah;
~ umum
pengetahuan mengenai berbagai-bagai hal;

berpengetahuan (banyak) mempunyai pengetahuan, berilmu, terpelajar:
~ luas dan peka terhadap alam sekeliling.

tahun I

1. jangka waktu (masa) yang lamanya dua belas bulan:
umurnya enam belas ~;
berapa ~ kamu tinggal di kampung itu?;

2. angka yang menyatakan tarikh:
beliau dilahirkan pada ~ 1945;

3. masa dua belas bulan yang ke… (seperti majalah, surat khabar, dan lain-lain):
Majalah Bahasa ~ yang kedua bilangan satu;

4. masa dua belas bulan untuk …;
~ buku [Indonesia] masa untuk perhitungan kewangan dalam perniagaan (biasanya dari 1 Januari hingga 31 Disember);

5. masa selama tumbuh-tumbuhan hidup, musim;
~ jagung masa selama tiga atau empat bulan;
~ akademik seluruh tempoh masa dalam satu tahun yang digunakan untuk pengajian atau kuliah di kolej, universiti, akademi dan sebagainya:
Program Sarjana Perubatan adalah satu program lepasan ijazah yang mengambil masa empat ~ akademik; ~ akademik 1997/98;
~ asas
(Ekonomi) tahun yang dipilih sebagai permulaan bagi pengiraan satu siri nombor indeks, biasanya tahun yang mempunyai ciri normal seperti ketiadaan kemelesetan dan inflasi yang tinggi;
~ baru hari yang pertama dalam satu-satu tahun;
~ belakang [Indonesia] = ~ depan = ~ hadap(an) tahun yang akan datang;
~ cahaya (Fizik) unit jarak yang bersaman dengan jarak yang dilalui cahaya dalam satu tahun;
~ Dal tahun yang kelima dalam daur kecil (windu);
~ fiskal jangka masa dua belas bulan yang diliputi oleh belanjawan sesebuah negara;
~ Gajah tahun berlakunya peristiwa serangan tentera bergajah pimpinan Abrahah (dari Yaman) ke atas Kaabah, yang bersamaan dengan tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW;
~ Hijrah tarikh yang dikira mulai tarikh hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah;
~ kabisat = ~ lompat = ~ panjang [Indonesia] tahun yang sehari lebih panjang daripada tahun yang biasa;
~ kalendar tempoh masa satu tahun dari 1 Januari hingga 31 Disember pada tahun yang sama;
~ kamariah = ~ qamari tahun yang dikira mengikut perjalanan bulan;
~ kewangan
a) jangka masa dua belas bulan yang pada akhirnya sesebuah syarikat dan lain-lain menutup akaunnya;
b) tahun fiskal;
~ lalu tahun yang lepas;
~ Masihi tarikh yang dikira mulai dari tarikh lahirnya Nabi Isa as;
~ syamsiah tahun yang dikira mengikut perjalanan matahari;

setahun satu tahun;
~ padi tempoh lima atau enam bulan;
berumur ~ jagung
a) muda sekali;
b) [kiasan] belum matang (pemikiran dan lain-lain);

setahun-tahunan sepanjang tahun;

bertahun;
sudah ~ sudah beberapa tahun yang lalu:
sudah lama Leman merantau, sudah ~ hari yang habis;

bertahun-tahun beberapa tahun lamanya:
sudah ~ lamanya Nasir bergaul dengan gadis itu;

menahun
1. tinggal hingga genap setahun atau beberapa tahun lamanya:
beliau telah menjauhkan diri naik ke Makkatul-musyarrafah lalu duduk ~ di sana;

2. lama benar:
dia sudah ~ di sini;

3. lama merana (menghidap penyakit):
dia menjadi korban daripada fungsinya juga dan akibatnya timbul infeksi yang ~;

tahunan
1. (berlaku atau diadakan) setiap tahun:
salah satu daripada tujuan ibadat haji ialah untuk menyatukan umat Islam melalui satu muktamar Islam ~ yang berlangsung di tanah suci;
mesyuarat agung ~;
penyata ~;

2. [bahasa percakapan] sudah bertahun-tahun.

tahun II

[Minangkabau];

bertahun bertanam padi, bersawah;

pertahunan hasil sawah, panen, panenan:
~ rosak binasa, kerana batang padi habis dikerat-kerat tikus sebelum berbuah.

tai I

[bahasa percakapan] tali leher;

bertai memakai tai, bertali leher:
siapakah lelaki yang ~ biru kuning itu?

taici

sejenis senaman dengan gerak badan yang perlahan-lahan yang pada asalnya diamalkan oleh orang Cina untuk menyihatkan badan.