[Arab] bersih, murni, suci.
tahiyat
[Arab]
1. penghormatan;
2. ucapan penghormatan terhadap Allah dan Rasul-Nya semasa duduk dalam solat;
~ akhir salah satu rukun solat pada rakaat akhir sebelum salam;
~ awal tahiyat yang dibaca pada rakaat kedua, kecuali solat dua rakaat.
tahkik
[Arab]
1. pengesahan sesuatu kebenaran dengan bukti;
2. benar, sahih, sungguh:
syahadan ~lah Raja Jaafar pergi ke Selangor;
ahli ~ ahli sufi;
mentahkikkan
1. membuktikan kebenarannya, membenarkan, mengesahkan:
kejahatan orang lain yang belum boleh ditahkikkannya itulah dibilang-bilang dan dibesar-besarkannya;
2. menyunting sesuatu karya;
pentahkikan proses mentahkikkan sesuatu maklumat:
apabila komputer digunakan, pengesahan dan ~ data, dapat dibuat secara automatik.
tahkim
[Arab]
1. perihal melantik hakim, pengangkatan hakim;
2. keputusan yang dibuat oleh hakim, pertimbangan hakim;
bertahkim memakai hakim (dalam pertelingkahan).
tahlik
[arkaik] taklik I.
tahlil I
[Arab] sejenis zikir kepada Allah dengan mengucapkan kalimah lailahaillallah berulang-ulang:
selesai semua doa dan ~, Karim dengan kawan-kawannya mula beredar dari situ;
bertahlil
1. melakukan tahlil:
kemudian daripada selesai menyempurnakan fardu Isyak lalu ~;
2. [Indonesia] nyanyian puji-pujian (dalam agama Kristian).
tahlil II
[Arab] menjadikan halal perkahwinan antara suami isteri sesudah talak tiga (dengan perantaraan muhalil).
tahmid
[Arab] zikir dengan mengucapkan alhamdulillah berulang-ulang;
bertahmid melafazkan tahmid, berzikir.
tahniah
ucapan selamat (untuk orang yang berkahwin, mendapat anak, naik pangkat, dan lain-lain):
aku ucapkan ~ atas kejayaanmu.
tahnik
[Arab] perbuatan memasukkan sedikit benda manis (seperti kurma yang telah dimamah) ke dalam mulut bayi yang baru lahir sebelum diberi susu.