tunda III

[Minangkabau] tolak dari belakang, sorong;

bertunda
1. berlepas, bertolak;

2. berpanjangan melakukan sesuatu, berlama-lama;
~ berkelahi berkelahi berlama-lama;

bertunda-tunda berlama-lama, berpanjangan;
~ banyaknya sangat banyak;
~ berbicara lama berbicara;

menunda, menundakan
1. menolak atau menolakkan, mendorong, menyorong;
~ pedati menolak pedati;

2. ki meminta supaya melakukan (mengadakan dan lain-lain) sesuatu, mendesak:
dengan mengumumkan parti politik yang baru, kita dapat ~ pemerintah mengambil suatu keputusan;

tunda-menunda saling menunda (tolak-menolak):
ombak bergulungan ~;

tundaan hasil perbuatan menunda, tolakan:
agak cepat juga gerak ~ itu.

tunda II

[bahasa percakapan] tangguh;

menunda menghentikan dan meneruskan kemudiannya, mengundurkan waktu, menangguhkan (pelaksanaan dan lain-lain sesuatu):
mulanya sukan itu hendak diadakan pada bulan Ogos, kemudian ditunda kepada bulan Disember;

menunda-nunda selalu menunda, menangguh-nangguhkan waktu, memperlama;

tertunda
1. ditangguhkan, ditunda;

2. sengaja dilambat-lambatkan;

penundaan perihal menunda, penangguhan:
kepulanganmu cuma bererti ~ waktu, janji memang telah sampai.

tunda I

sesuatu yang ditarik dengan tali di belakang perahu;
kail ~ kail yang ditarik di belakang perahu;
pukat ~ pukat yang ditarik di belakang bot dan lain-lain;
sampan ~ sampan yang berisi muatan (ditarik oleh kapal yang kecil-kecil);
tali ~ tali untuk menarik pukat (sampan dan lain-lain);

bertunda
1. sedang menarik sampan tunda (kapal, sekoci, dan lain-lain);

2. ki berikut-ikut, berturut-turut:
beberapa kali orang melihat Lajim balik bersaingan dan ~ dengan Saodah;

bertunda-tunda
1. [sastera lama] berduyun-duyun dengan banyaknya, berbondong-bondong:
rakyat ~ menuju ke padang tempat orang berperang itu;

2. ki berjalan dan lain-lain berikut-ikut (berturut-turut):
anjing itu berlari-lari dan di belakangnya ~ anaknya;

menunda
1. menarik sampan dan lain-lain dengan tali:
sebentar kemudian dengan ~ perahu si Tenggang, mereka pun berkayuh balik ke pantai;

2. ki mengikut dari belakang, mengikut, mengiringi:
orang tua itu sedang mengingat peristiwa kematian isterinya yang ditunda dengan kematian anak-anaknya;
Pak Sudin masuk ke dalam bilik hadapan dan Yusof ~nya dari belakang;

penundaan perihal (perbuatan atau kerja) menunda:
~ kereta yang rosak di lebuh raya itu telah diswastakan kepada sebuah syarikat tempatan;

penunda sesuatu yang digunakan untuk menunda (menarik);
kapal ~ kapal penarik (sampan dan lain-lain);
~ kereta orang yang kerjanya menunda kereta yang rosak atau remuk akibat kemalangan;
tali ~ tali untuk menarik sampan dan lain-lain.

tunas

bahagian tumbuhan yang mulai tumbuh (pada batang, dahan yang diparas, dan lain-lain), bakal cabang (dahan, ranting), kecambah, taruk;
~ baka tunas yang menjadi baka bagi sesuatu pokok yang dicantumkan;
~ celah = ~ ketiak tunas yang letaknya di antara daun dengan dahan (ranting dan lain-lain);
~ hujung = ~ pucuk tunas yang terdapat pada bahagian hujung ranting;
~ padi batang padi yang tumbuh sesudah dituai;
~ rasa (Biologi) sel di permukaan lidah yang membolehkan seseorang dapat mengetahui rasa makanan atau minuman, seperti rasa pahit, masin, manis atau masam;
~ sulung tunas yang mula-mula sekali bercambah pada biji;
tidak berasak ~ dari tunggul (peribahasa) pangkat dan lain-lain yang diwarisi oleh anak atau keluarga sendiri (di situ-situ juga);

bertunas
1. tumbuh tunasnya (pokok dan lain-lain):
kacang soya yang ~ atau bercambah itu banyak mengandungi kalsium;

2. ki mempunyai anak cucu, menurunkan zuriat, berketurunan;

3. [kiasan] tumbuh atau timbul, hidup, muncul, terbit:
dalam tahun dua dan tiga puluhan, kesedaran kebangsaan mula ~;
baru hendak ~ sudah dipetik, lama-lama matilah pokoknya
(peribahasa) baru sedikit mendapat keuntungan sudah memboros-boros;

menunas
1. cambah atau timbul sebagai tunas (tumbuh-tumbuhan);

2. = menunasi membuang (memangkas, memotong) tunas;

menunaskan menjadikan bertunas, menimbulkan, menerbitkan.

tunang

bakal isteri atau suami, laki-laki dan perempuan yang telah mengikat perjanjian untuk menjadi suami isteri:
dia tinggal tidak berapa jauh dari rumah ~nya;

bertunang mengikat janji untuk menjadi suami isteri (berkahwin):
sesudah bekerja baru ~;

bertunangan sudah terikat oleh janji untuk menjadi suami isteri, mempunyai perhubungan sebagai tunang:
mereka telah ~;

menunang
1. meminta anak gadis supaya jadi isteri, melamar, meminang:
orang muda yang kaya itu datang ~ engkau;

2. = menunangi mengajak bertunang dengan, meminta bertunang dengan:
ia sudah ditunangi oleh seorang saudagar kaya;

menunangkan memperhubungkan laki-laki dan perempuan dalam istiadat sebagai tunangan:
ia tidak mahu ditunangkan dengan anak bapa saudaranya;

mempertunangkan menjadikan bertunang(an):
anaknya dipertunangkan dengan seorang pahlawan;

tunangan tunang:
barangkali abang sudah ada ~ ataupun sudah kahwin;

pertunangan perihal bertunang (bertunangan): ~ antara Mahadi dengan Junah telah dirasmikan;

penunangan perihal menunang (menunangkan);

petunang [sastera lama] jampi atau mantera yang dikenakan pada bunyi-bunyian untuk menimbulkan rasa kasih kepada siapa yang mendengarnya;
peluru ~ = peluru penunang [sastera lama] peluru yang berjampi (tetap mengenai sasarannya).