sepit I

1. alat untuk menjepit atau mengapit (seperti jari ketam);

2. alat makan orang Cina;
~ (penyepit) api alat (daripada besi dan lain-lain) untuk menjepit bara api;
~ baju
a) sepit yang digunakan untuk menyepit pakaian di ampaian;
b) pin baju;
~ bara alat penjepit seperti yang digunakan oleh tukang emas;
~ ketam
a) jari ketam dan lain-lain yang boleh menjepit;
b) sejenis jahitan untuk bahagian tepi benda yang dijahit;
~ rambut alat untuk menyepit rambut (supaya tidak ditiup angin);
kuih ~ sejenis penganan yang tipis daripada tepung gandum (telur, santan dan gula putih);
kuat ~ kerana kempa (peribahasa) orang yang menjadi kuat dalam sesuatu perkara kerana ada yang menolong atau menyokongnya dari belakang;

menyepit
1. memegang (mencengkam dan lain-lain) dengan sepit, menjepit dengan sepit:
ular mematuk, ketam ~;

2. mengapit atau menekan sesuatu di antara dua benda (seperti dengan kaki, jari, dan lain-lain);

tersepit
1. sudah disepit (diapit, dijepit, dan lain-lain):
cerut cap ayam yang ~ di bibirnya itu, dipasangnya;

2. [kiasan] terhimpit, tertekan:
seluruh kehidupan mereka ~ antara dua pihak yang mengadu kekuatan senjata dan tenaga;

penyepit sepit.

sepion

[Indonesia-Belanda] mata-mata (gelap);

menyepion mengintip (untuk mendapatkan rahsia dan lain-lain), memata-matai.

sepina

(Undang-undang) surat yang meminta seseorang hadir (untuk memberikan keterangan sebagai saksi dan sebagainya) di mahkamah;

disepina diminta menghadirkan diri di mahkamah.

sepiding

sejenis tumbuhan (rumpai), rumput giring-giring, selensing, selising, Hypolytrum latifolium.

sepi

1. tidak riuh, senyap, sunyi:
kedua-duanya diam sejenak, seluruhnya ~ kecuali bunyi deru jentera yang tidak putus-putus;

2. tidak banyak orang, tidak ramai (pembeli di kedai dan lain-lain), lengang:
awak pernah gambarkan ~nya orang tua kalau dia sakit dan tidak ada orang di sampingnya;

3. [kiasan] tidak meriah (sambutan berkenaan sesuatu dan lain-lain), dingin:
kunjungannya ke sana telah mendapat sambutan yang ~ sekali;
memandang (menganggap) ~
ki tidak menghiraukan atau mempedulikan sangat;

menyepi
1. = bersepi-sepi pergi ke tempat yang sunyi (untuk menenteramkan diri dan lain-lain);

2. menghindarkan diri daripada orang banyak, mengasingkan diri, menyendiri;

3. menjadi sepi:
keriuhan ayam itik juga turut ~;

menyepikan menjadikan sepi:
Allah tidak ~ alam ini daripada mereka;
~ diri menghindarkan diri daripada orang banyak, menyepi;

kesepian
1. perihal keadan sepi, kesunyian:
hanya bunyi gobek itulah sahaja yang memecahkan ~;

2. berasa sepi (kerana keseorangan dan lain-lain):
dia ~ apabila ditinggalkan seorang diri;

penyepian perbuatan menyepi atau menyepikan diri:
selama ~nya itu dia telah dapat menyelesaikan karyanya yang paling penting.