struktur

1. cara sesuatu terbina atau terbentuk daripada pelbagai bahagian, unsur, atau aspek hingga menjadi suatu pola, sistem, atau bentuk tertentu:
~ bahasa Melayu;

2. sesuatu yang dibina atau didirikan, binaan, bangunan, rangka bangunan;

3. pola sesuatu (organisasi, masyarakat, dan sebagainya) yang terbentuk atau tersusun daripada pelbagai unsur yang mempunyai hubung kait antara satu dengan lain:
~ organisasi Jabatan yang baru;

berstruktur mempunyai struktur, ada strukturnya;

menstrukturkan menjadikan berstruktur, mewujudkan struktur pada:
masyarakat kapitalis metropolis distrukturkan secara politik dan ekonomi oleh proses perjuangan kelas;

penstrukturan perihal (perbuatan dan sebagainya) menstrukturkan.

strudel

pastri daripada doh lembut yang nipis, berinti dan digulung seperti baulu gulung, terkenal di Austria dan Jerman.

strontium

(Kimia) unsur logam berbentuk pepejal lembut berwarna putih perak dan sangat reaktif, digunakan untuk membuat aloi.

strok

(Perubatan) keadaan yang berlaku tiba-tiba akibat rosaknya atau pecahnya salur darah otak yang boleh menjadikan seseorang tidak sedar diri, (biasanya) diikuti oleh kelumpuhan, dan penyekatan salur darah oleh gumpalan darah.

stroboskop

alat yang mengeluarkan cahaya terang yang berkelip-kelip dengan pantas, digunakan untuk menentukan kelajuan putaran atau getaran atau untuk melaraskan gerakan sesuatu objek.

striknina

(Perubatan) bahan yang sangat beracun daripada sejenis tumbuhan, yang digunakan dalam jumlah yang sangat sedikit sebagai ubat untuk merangsangkan saraf.

stres

keadaan resah, cemas, tegang dan sebagainya akibat tekanan mental atau fizikal:
banyakkan sembahyang sunat dan zikir terutamanya pada waktu malam jika anda mengalami ~ dalam rumah tangga.

streptomisin

(Perubatan) sejenis ubat antibiotik yang diperoleh daripada bakteria Streptomyces griseus, digunakan untuk merawat beberapa penyakit tertentu.

streptokokus

(Perubatan) bakteria daripada genus Streptococcus yang boleh menyebabkan jangkitan dan penyakit, misalnya sakit tekak, demam merah dan pneumonia.