al-Wadud

[Arab] Yang Maha Mengasihi orang yang beriman kepada-Nya (satu daripada 99 nama Allah).

alveolus

(Biologi)

1. pundi udara yang halus dalam paru-paru tempat berlakunya pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida;

2. rongga dalam rahang tempat tertanamnya akar gigi.

aluvium

(Geologi) tanah halus yang subur hasil daripada mendapan lumpur, pasir, selut dan sebagainya semasa banjir, terutamanya di dataran banjir, dasar sungai, dan muara, lanar.

alusi

perbuatan membayangkan atau merujuk kepada sesuatu secara tidak langsung.

alur

1. lekuk memanjang (pada tanah, kayu, dan lain-lain), lurah;
~ di dalam redang tempat lalu perahu di dalam redang;

2. [Minangkabau] jalan (aturan adat) yang benar;

3. jalan (aturan, landasan, dan sebagainya) yang diikuti ke arah sesuatu matlamat dan lain-lain:
sudah jelas ~ matlamat perjuangan;
~ air aliran air (semacam parit kecil);
~ bibir = ~ hidung lekuk di bibir atas di bawah hidung;
~ kapal riak air di belakang sesebuah kapal yang sedang bergerak, keracak;
~ sungai dasar sungai yang lekuk dalam dan memanjang;
~ tanggam sejenis lurah sambungan pada perkakas kayu;
~ tenggala alur yang terjadi apabila membajak;
~ tengkuk lekuk di tengkuk;
~ bertempuh, jalan berturut (peribahasa) dilakukan menurut adat (kebiasaan yang lazim);

beralur
1. ada alurnya, berlekuk, berlurah:
laras senapang itu ~;

2. [Minangkabau] bermesyuarat (mencari jalan yang benar);
habis ~ maka beralu-alu (peribahasa) jika dengan jalan mesyuarat tidak tercapai persetujuan, baharulah digunakan kekerasan;

mengalur-alur (menjadi) seperti alur;
dadanya ~ dadanya seperti alur (ia kurus sekali);

aluran
1. = alur-aluran lekuk memanjang (di sungai dan lain-lain);

2. = ~ adat [Minangkabau] jalan adat yang sebenarnya (yang betul).

alung

1. sejenis permainan guli (permainan kanak-kanak);

2. [kata seru] kata yang digunakan dalam permainan guli ketika hendak melemparnya.