ekspresionisme

gaya penulisan, lukisan, muzik, dan sebagainya yang cuba melahirkan pengalaman seniman dari sudut emosi (bukan berdasarkan fakta yang nyata).

ekstasi

sejenis dadah berbahaya berbentuk pil yang bertindak sebagai perangsang (menimbulkan rasa gembira dan bertenaga yang luar biasa) dan boleh menyebabkan ketagihan sehingga boleh merosakkan sistem saraf pusat.

ekstradisi

(Undang-undang) pengembalian penjenayah oleh sesebuah negara ke negara tempat jenayah dilakukan atas permintaan negara itu supaya penjenayah tersebut dapat dibicarakan di negara berkenaan;

mengekstradisi melakukan ekstradisi:
Amerika Syarikat tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan khusus kepada kerajaan Malaysia untuk ~ mana-mana pengganas.

ekstrak

keluaran bahan tertentu daripada sesuatu bahan tumbuhan, haiwan, dan lain-lain:
~ vitamin C daripada buah oren;

mengekstrak mendapatkan (jus dan sebagainya) secara menghancurkan, menekan, menyuling dan sebagainya:
~ jus daripada nanas;

pengekstrakan proses (perbuatan atau tindakan) mengekstrak:
~ protein daripada kacang soya;

pengekstrak
1. alat atau mesin untuk mengekstrak:
kakitangan loji pandu itu juga berjaya mencipta ~ cecair tekanan rendah dengan kerjasama pakar dari Switzerland;

2. (Kimia) bahan untuk memisahkan sesuatu sebatian daripada campuran, atau memisahkan gabungan beberapa sebatian daripada tisu atau dadah mentah:
asid itu merupakan pelarut, pencuci dan ~ untuk bahan organik.

ekstranei

[Indonesia-Belanda] orang yang mengambil peperiksaan (sekolah menengah dan lain-lain) dengan tidak mengikuti pelajaran (sekolah menengah dan lain-lain) secara rasmi.

ekstrapolasi

proses menggunakan logik atau fakta bagi menganggarkan kemungkinan berlakunya sesuatu pada masa depan:
pengitlakan semesta sains mesti dilihat sebagai suatu ~;

mengekstrapolasi melakukan atau membuat ekstrapolasi.

ekstravaganza

bentuk persembahan hiburan yang besar-besaran, canggih, berwarna-warni, mahal dan sebagainya:
ramai pelancong asing yang membanjiri negara untuk menyaksikan perarakan ~ kebudayaan terbesar di Asia itu.