dapa

[sastera lama] hamba yang dikirimkan sebagai hadiah kepada bakal mentua.

dapat

1. boleh (melakukan sesuatu), berupaya, mampu:
dia sedang mencari orang yang ~ menyelesaikan kerja itu dengan sempurna;
ubat yang ~ menghilangkan rasa gatal-gatal pada kulit;

2. [bahasa percakapan] beroleh, menerima (wang, hadiah, keuntungan, surat, dan lain-lain), menanggung, ditimpa (sesuatu yang tidak baik seperti malu dan lain-lain);

3. bertemu, bersua, menemui:
cari dia sampai ~;
tidak juga dia ~ barang yang hilang itu;
anak ~
anak yang diambil (dipungut) di jalan;

4. berjaya, berhasil, tercapai (sesuatu yang dikehendaki):
dengan kemenangan ini dia ~ memasuki pertandingan akhir;

5. faham (sesuatu yang diajarkan, dipelajari, dan sebagainya):
Nadiah rajin mengaji, lekas ~, dan pandai pula mengambil hati; ~ angin mendengar risik-risik (desas-desus);
~ durian runtuh = ~ harta karun = ~ harta timbul (peribahasa) mendapat keuntungan dengan tidak bersusah payah atau dengan tidak disangka-sangka;
lepas putih hitam tak ~ (peribahasa) apa yang diharapkan tidak dapat, sedangkan yang ada pula hilang;
~ terpijak memperoleh sesuatu dengan mudah atau dengan tidak perlu berusaha;

sedapat sesudah dapat (menerima):
~ sahaja telegram itu dia pun segera pulang;
~ mungkin
seboleh-bolehnya, seboleh mungkin, seberapa dapat (boleh);

sedapat-dapatnya seberapa dapat, sedapat mungkin, seboleh-bolehnya:
~ rumah itu diatur dengan sebaik-baiknya;
semua pihak telah berusaha ~ untuk mengelakkan berlakunya pertumpahan darah;

berdapat
1. [Minangkabau] padan, patut, sesuai;

2. = berdapatan bersua (dengan), berjumpa (dengan):
kami ~ dengan dia di bandar;

mendapat
1. beroleh, memperoleh:
~ keuntungan yang besar;
~ faedah daripada membaca buku-buku ilmu pengetahuan;

2. memperoleh, menerima, diberi:
mereka masing-masing ~ hadiah;
pekerja-pekerja itu ~ berbagai-bagai elaun selain gaji pokok;

3. menikmati (kemewahan, kesenangan, kebahagiaan, dan lain-lain), mengalami (kesusahan, kecelakaan, dan lain-lain), memperoleh:
~ rahmat daripada Allah;
~ kesenangan hidup;
~ penyakit;
~ nama buruk;

4. menerima (surat, berita, dan lain-lain):
dia kelihatan bermenung setelah ~ telegram daripada ayahnya;

5. menemui, menjumpai, memperoleh:
~ barang yang dicari;
~ penyelesaian yang sebaik-baiknya;
~ hati
ki menerima atau memperoleh cinta (daripada seseorang);
~ khabar menerima (mendengar) khabar;
~ malu menanggung malu, diaibkan (oleh sesuatu kejadian dan sebagainya);
~ tempat diberikan perhatian (layanan, pengiktirafan, dan sebagainya), diterima (sebagai berhak dan sebagainya);
~ sama berlaba, kehilangan sama merugi (peribahasa) hidup yang seia sekata;

memperdapat, perdapat mendapat dengan usaha, memperoleh:
kalau perempuan itu diperdapat dengan mudah, saya takut kalau-kalau dilepaskannya dengan mudah pula;

mendapati, dapati
1. memperoleh:
elaun itu menjadi tambahan kepada gaji yang mereka dapati;
pejabat-pejabat yang menerima hasil, harus menaksir berapa banyak hasil yang boleh mereka dapati pada tahun hadapan;

2. menemui, menjumpai, melihat (secara kebetulan):
apabila saya sampai di rumah itu saya ~ dua orang pemuda sedang memanjat pintu pagarnya;
dia ~ ibunya sedang berbual-bual di luar;

3. mengetahui (hasil daripada penyiasatan, penyelidikan, pengkajian dan sebagainya), membuat kesimpulan (berdasarkan kajian, penelitian, dan sebagainya):
dia didapati menghidap penyakit malaria;
mahkamah ~ yang dituduh bersalah;

mendapatkan
1. pergi bertemu atau berjumpa dengan, pergi atau datang kepada (seseorang):
Wan Intan berlari ~ suaminya;

2. mendapat, memperoleh (menerusi usaha):
kepentingan Pulau Pinang baru diinsafi manakala tidak berhasil percubaan Inggeris hendak ~ satu pangkalan lain;

3. [sastera lama] mengunjungi, menziarahi:
maka Sultan Malikul-Mansor pun singgah di darat ~ kubur Sidi Ali Hisamud-Din;

4. mengunjungi (sebagai permulaan dalam surat), menjelang, menemui:
~ kekanda yang diingati;

terdapat ada (kelihatan), didapati, diketemui, diperoleh:
sesudah diperiksa kebunnya ternyata masih ~ rumput-rumput tumbuh di beberapa tempat;

dapatan
1. [arkaik] sesuatu yang didapati (diperoleh), perolehan;
~ tinggal harta yang didapati semasa kahwin dan menjadi hak isteri apabila bercerai;

2. sesuatu yang didapati atau diketemui (hasil daripada kajian, penyelidikan, dan sebagainya), penemuan:
menyediakan laporan tentang beberapa ~ daripada kajian yang telah dijalankan;

kedapatan didapati, dijumpai, diketahui:
manakala ia balik, ~ rumahnya sunyi;
apabila kerjanya itu hendak dipangku oleh orang lain, ~ kira-kira wangnya terkurang sebanyak dua puluh ringgit;
muka berpandangan, budi ~, kasih bagai lama juga
(peribahasa) anggapan (perasaan) yang tidak berubah kepada seseorang walaupun ia berlaku serong;

pendapatan
1. jumlah wang yang diperoleh dalam jangka waktu tertentu (sebagai hasil daripada mata pencarian, kerja yang dilakukan, dan sebagainya), hasil yang terdiri daripada gaji dan lain-lain yang diperoleh:
~nya tidak sampai lima ratus ringgit sebulan;
~ kasar
pendapatan sebelum ditolak potongan-potongan daripada gaji dan sebagainya (kerana bayaran tertentu);

2. (hasil) penemuan buat pertama kalinya (tidak ada atau diketahui sebelumnya), dapatan:
~ Baird dalam lapangan televisyen memberi banyak faedah kepada semua orang;

berpendapatan mempunyai atau beroleh pendapatan:
golongan yang ~ rendah;

pendapat
1. kesimpulan yang dibuat atau diperoleh daripada berfikir (dan membayangkan sikap atau pendirian seseorang tentang sesuatu), pandangan, fikiran:
~ Hussain dalam hal tersebut bertentangan dengan pendirian ayahnya;
~ umum
pendapat orang ramai;

2. orang yang mula-mula memikirkan (mendapatkan, menciptakan) sesuatu yang baru (belum ada, belum diketahui sesiapa), penemu:
~ utama dalam hal televisyen ialah Mr. Baird dari Scotland;

berpendapat mempunyai pendapat (pandangan);

bersependapat sama-sama berpendapat.

dapra

sesuatu yang menyerupai bantal yang dipasang di lambung (di rusuk) kapal dan sebagainya supaya tidak bersentuhan dengan pangkalan dan sebagainya:
sebuah ~ digunakan di bahagian hadapan kalau kapal hendak merapat atau hendak bertolak.

dapur

1. bahagian rumah tempat memasak;

2. alat untuk memasak (nasi, gulai, dan lain-lain), tempat membakar (roti, kapur, dan lain-lain);
belanja ~ perbelanjaan untuk keperluan makanan sehari-hari;
orang ~ [bahasa percakapan] isteri atau orang perempuan yang menguruskan penyediaan makanan sehari-hari;
orang se~ seisi rumah( kaum keluarga);
~ arang dapur yang menggunakan arang sebagai bahan pembakar;
~ basah dapur tempat melakukan kerja masak-memasak yang biasanya banyak menggunakan air;
~ elektrik = ~ karan dapur yang menggunakan kuasa elektrik;
~ gas dapur yang menggunakan gas sebagai bahan bakar;
~ kayu dapur yang menggunakan kayu sebagai bahan pembakar;
~ kering dapur yang hanya digunakan untuk menyediakan makanan ringan atau menghidangkan makanan (biasanya berkeadaan kering);
~ minyak tanah dapur yang menggunakan minyak tanah sebagai bahan pembakar;
~ umum dapur tempat menyediakan makanan untuk orang ramai (dalam keadaan darurat dan sebagainya).

dapur-dapur

1. bahagian yang di luar daripada sesuatu benda;
~ bedil [sastera lama] tempat menaruh ubat bedil pada senapang kuno;

2. bahagian badan (yang tertentu);
~ bahu bahagian di bawah bahu;
~ susu bahagian di bawah susu (buah dada).

dar I

[Arab] (dalam kata majmuk) tempat kediaman, daerah, negeri (negara), alam;
~ al-baqa tempat yang baqa (iaitu akhirat);
~ al-fana tempat yang tidak kekal (iaitu dunia);
~ al-harab negara yang belum memeluk agama Islam;
~ al-Islam negara yang sudah memeluk agama Islam;
~ al-jalal syurga yang terindah;
~ al-salam
a) alam yang aman;
b) syurga ketujuh.

dara I

1. tidak pernah (masih belum) melakukan persetubuhan dengan lelaki, gadis, perawan;
anak ~
a) perempuan yang sudah baligh tetapi belum berkahwin, gadis, perawan;
b) [Minangkabau] pengantin perempuan;
anak ~ sedang gadis yang sudah hampir mencapai umur boleh berkahwin;
anak ~ sunti gadis yang baru baligh (antara 9 – 13 tahun) tetapi terlalu muda untuk berkahwin;
anak ~ sunting gadis yang sudah layak bersuami;
(sudah) hilang ~nya = sudah tidak ada ~ lagi sudah disetubuhi lelaki, tidak gadis (perawan) lagi;

2. sudah tiba (cukup) waktunya untuk bertelur (beranak, berbuah, dan sebagainya):
ayam ~;
nyiur ~;
bagai anak ~ mabuk andam
(peribahasa) lemah dan lesu tetapi tidak berpenyakit;
bagai anak ~ sudah berlaki (peribahasa) gadis tidak pemalu, pemalas lagi pengotor;

kedaraan keadaan masih dara atau gadis, kegadisan, keperawanan;

perdaraan
1. [sastera lama] gadis-gadis dalam istana;

2. perihal masih gadis, kedaraan.