aglutinasi

1. (Perubatan) penggumpalan sel darah, atau mikrooganisma seperti bakteria, akibat tindakan antigen dan antibodi dalam darah;

2. (Linguistik) penambahan imbuhan pada kata atau kata akar untuk menunjukkan fungsi tatabahasa, misalnya mem-, per-, dan -kan dalam mempertemukan.

aglutinin

(Perubatan) antibodi yang menyebabkan sel bakteria tertentu melekat antara satu dengan lain untuk membentuk gumpalan yang akan dimusnahkan oleh sel darah putih.

aglutinogen

(Perubatan) bahan yang bertindak sebagai antigen yang merangsang penghasilan aglutinin tertentu dalam darah.

AGMARIS

akronim bagi Agriculture Marketing Information Systems (Sistem Maklumat Pemasaran Pertanian).

agnostik

orang yang berpendapat atau berpendirian bahawa hanya sesuatu yang berupa kebendaan sahaja yang boleh diketahui manakala pengetahuan tentang Tuhan dan segala yang abstrak tidak mungkin:
mereka itu terdiri daripada skeptik, ~, ateis, dan peragu.

agraris

[Indonesia-Belanda] (berasaskan, berkaitan dengan, bersifat, dan sebagainya) pertanian:
Inggeris tidak begitu suka mengganggu masyarakat Melayu yang dianggap masyarakat ~.