tindis

menindis, menindisi
1. meletakkan sesuatu di atas, menindih:
kertas-kertas itu ditindisi dengan sebuah batu;

2. menekan, menimpa, menindas:
daripada pandangan yang dilayangkannya itu, aku bisa menangkap kemurungan yang sedang ~ jiwanya;

tertindis tertekan, tertindih:
~ perasaan.

tindik

bertindik berlubang atau sudah dibuat lubang halus pada sesuatu bahagian tubuh seperti telinga dan hidung (supaya boleh dipakaikan anting-anting dan sebagainya):
~ telinga istiadat melubangi cuping telinga;

menindik melubangi (mencucuk) sesuatu bahagian tubuh seperti telinga dan hidung:
supaya dapat memakai subang, telinga hendaklah ditindik;

menindikkan membuat supaya seseorang bertindik:
terdapat kedua-dua istiadat tersebut, iaitu menyucikan Raja Ahmad dan ~ dua orang puteri baginda Sultan Mansur Shah;

penindikan perihal atau perbuatan menindik:
~ cuping telinga anak perempuannya.

tindih

bertindih
1. bersusun yang satu di atas yang lain, berlapis-lapis:
beberapa fail tersusun bertindih-tindih di atas gerobok;
~ bangkai (mayat)
bangkai (mayat) bertimbun-timbun;
~ bersusun bertompok bersusun-susun;
~ riba (dengan) = ~ paha (dengan) duduk berdekatan (berdampingan) dengan;
jatuh ~ jatuh yang satu menghempap (menimpa) yang lain;

2. berasak-asak, berdekat-dekat, rapat-rapat (penuh sesak):
berkampunglah segala isi negeri, sekalian itu habislah ia berkampung penuh sesak, bertindih-tindih;
berjalan ~
berjalan berasak-asak (berjejal-jejal) rapat;
duduk ~ (bertindih-tindih lutut) duduk rapat-rapat;

3. mencakupi atau meliputi aspek-aspek dan sebagainya yang sama atau serupa;

tindih-bertindih saling menghimpit (menghempap);

bertindihan tindih-bertindih;

menindih
1. meletakkan sesuatu di atas:
surat-surat di atas meja itu ditindih dengan sebuah buku supaya tidak berserakan ditiup angin;

2. menekan dari atas, menghempap, menghimpit, menimpa:
ahli gusti itu merebahkan lawannya dan ~nya kuat-kuat;

3. [kiasan] menindas, memeras, menganiaya, menyusahkan:
di sini ada orang yang hidup dengan keuntungannya dan ada yang hidup terus terlantar, yang satu ~ yang lain;
yang rebah ditindih
ki yang sudah malang (miskin) bertambah malang (miskin);
ditindih yang berat, dililit yang panjang (peribahasa) tidak berupaya melepaskan diri daripada kekuasaan orang (daripada kemalangan dan lain-lain);

tindih-menindih
1. hempap-menghempap, timpa-menimpa;

2. tindas-menindas, saling menganiaya;

tertindih
1. menindih (atau ditindih) dengan tidak sengaja:
dia disengat akibat ~ lipan apabila memusingkan badan;

2. ditindih (ditekan atau diasak dari atas), terhempap:
dia ~ olehnya ketika mereka sedang nyenyak tidur;

3. [kiasan] mengalami kesusahan, tertekan, terhimpit:
barangkali limpahan batik fesyen baru di pasaran menyebabkan batik keluaran syarikatnya ~;

tindihan himpitan, tekanan, tindasan;

ketindihan
1. tertindih, tertekan;

2. [Jakarta] tidak dapat bergerak-gerak ketika sedang tidur;

pertindihan perihal atau keadaan mencakupi atau meliputi aspek-aspek dan sebagainya yang sama:
~ fungsi;

penindihan perihal menindih, penghimpitan, penekanan, penindasan;

penindih alat untuk menindih (kertas, surat, dan lain-lain):
~ kertas.

tindas

menindas
1. menghimpit (menekan) dengan kuat:
~ kutu;

2. membuat dengan sekehendak hati (dengan kejam dan lain-lain) terhadap, memeras, memperkuda, menganiaya:
ia menerangkan bahawa pemberi pinjaman wang dapat ~ petani-petani dengan berbagai-bagai cara;

3. menumpaskan (pemberontakan dan lain-lain), menguasai (menghapuskan dan lain-lain) dengan kekerasan, menekan:
parti komunis melaksanakan ajaran-ajaran Lenin untuk ~ kebebasan peribadi;
pergerakan-pergerakan untuk mendapatkan kemerdekaan bagi negeri itu ditindas oleh kerajaan penjajah;

tertindas ditindas, ditekan (dikuasai) dengan kekerasan:
rakyat yang lama ~ itu akhirnya menentang pemerintah penjajah;

tindasan
1. hasil perbuatan menindas, tekanan;

2. tembusan atau rakaman surat (stensil dan lain-lain);

penindasan perbuatan menindas:
dalam pemerintahan diktator kerap berlaku ~ kebebasan dan hak-hak asasi manusia;

penindas orang dan lain-lain yang menindas.

tindan-tindih

cakupan atau liputan yang sebahagiannya sama, pertindanan;

bertindan-tindih bertindih-tindih dengan tidak teratur:
puluhan ribu mati berkaparan ~.

tindan

= tindan-tindih;

bertindan
1. bertimbun-timbun (bertindih-tindih) dengan tidak teratur:
pokok-pokok yang ditebang bertindan-tindan dan bertumpang tindih merata-rata;

2. mencakupi atau meliputi bahagian-bahagian (aspek, bidang, dan sebagainya)

tindak balas

tindakan yang diakibatkan oleh suatu tindakan lain;
~ berbalik (Kimia) tindak balas kimia yang berlaku mengikut dua arah yang berlawanan;
~ fotokimia (Kimia) tindak balas yang disebabkan oleh cahaya;
~ kimia perubahan kimia yang berlaku apabila satu atau lebih bahan bertindak balas bagi menghasilkan satu atau lebih bahan baru (lazimnya disertai pembebasan atau penyerapan tenaga);
~ kondensasi (Kimia) tindak balas yang berlaku antara satu molekul dengan molekul yang lain untuk membentuk molekul yang lebih besar (dengan menyingkirkan molekul kecil seperti air dan lain-lain);
~ nuklear (Fizik) tindak balas yang melibatkan perubahan dalam nukleus sesuatu atom;
~ penambahan (Kimia) tindak balas yang melibatkan penambahan molekul pada ikatan berganda tanpa penyingkiran sebarang molekul kecil;
~ penggantian = ~ penyesaran (Kimia) tindak balas yang melibatkan pertukaran sesuatu unsur atau radikal dengan unsur atau radikal lain;
~ rantaian (Kimia) sejenis tindak balas kimia yang berlangsung mengikut mekanisme langkah demi langkah, secara berturutan, dengan setiap langkah menjana bahan reaktif yang menyebabkan langkah seterusnya berlaku;
~ redoks (Kimia) tindak balas penurunan dan pengoksidaan yang berlaku serentak dalam sesuatu tindak balas kimia;
~ tak berbalik (Kimia) tindak balas kimia yang berlangsung mengikut satu arah;

bertindak balas berlaku tindak balas:
kalsium karbonat ~ dengan asid hidroklorik untuk menghasilkan karbon dioksida, air dan kalsium klorida;

menindakbalaskan melakukan tindak balas, menjadikan bertindak balas:
~ asid hidroklorik dengan kalsium karbonat;

penindakbalasan proses menindakbalaskan sesuatu.

tindak

1. [Jawa] langkah:
ia bangun sambil berjalan se~ demi se~ kembali ke kerusinya;

2. perbuatan, perlakuan;
~ pidana perbuatan jenayah (kejahatan);
~ -tanduk
a) segala tingkah laku (perbuatan, kelakuan);
b) sepak terajang;

bertindak menjalankan usaha (kegiatan dan lain-lain) untuk sesuatu, mengambil langkah-langkah dan sebagainya untuk mengatasi (menyelesaikan, menentang, dan sebagainya) sesuatu, berbuat, berlaku:
ia mahu berfikir panjang sebelum ~ apa-apa;
ia bersetuju ~ sebagai perantaraan untuk menyelesaikan pertelingkahan itu;
~ sendiri
berbuat (melakukan) sesuatu menurut kehendak sendiri;

menindak [arkaik] melakukan sesuatu terhadap;

menindakkan melakukan, melaksanakan, menjalankan:
~ kekerasan;

tindakan
1. peraturan dan lain-lain (yang dilaksanakan), langkah yang diambil (untuk mengelakkan, mengatasi, dan sebagainya sesuatu):
perintah berkurung merupakan ~ yang berkesan untuk mencegah merebaknya rusuhan;
mengambil
~
a) melaksanakan (mengadakan) peraturan-peraturan sebagai mencegah atau menyelesaikan sesuatu;
b) bertindak;

2. perbuatan, sesuatu yang (telah) dilakukan:
negara Komanwel telah membincangkan ~ kerajaan Rhodesia Selatan mengisytiharkan kemerdekaannya tanpa persetujuan kerajaan Inggeris;
~ pentadbiran (Undang-undang) tindakan yang perlu dilakukan untuk melaksanakan dasar dan maksud perundangan;
~ perusahaan tindakan seperti mogok dan bekerja lambat-lambat, yang diambil oleh para pekerja kerana tidak berpuas hati terhadap kadar gaji yang diterima, suasana kerja dan sebagainya;
~ susulan langkah (gerakan dan sebagainya) yang diambil (dilakukan) selepas mendapat maklumat (laporan dan sebagainya) atau berikutan daripada sesuatu;
~ tatatertib hukuman yang dikenakan terhadap seseorang yang melanggar peraturan tatatertib perkhidmatan, organisasi dan sebagainya.