sembunyi-sembunyian, bersembunyi-sembunyian

bermain menyorok dan mencari-cari;

bersembunyi
1. berlindung (diri) supaya tidak kelihatan, menyorok:
mereka masuk ~ di dalam rumah Menteri Besar yang telah kosong itu;

2. tidak mengatakan (memberitahukan) dengan sebenarnya, berahsia:
jangan kamu ~ lagi, katakan sahaja dengan terus terang;

menyembunyikan
1. melindungkan (menutup dan lain-lain) supaya tidak kelihatan, menyorokkan:
maka Pak Lebai pun sampailah di tempat anjing itu ~ dirinya;
di situlah tempat ia ~ hartanya yang baik-baik;

2. tidak menceritakan (sesuatu), merahsiakan:
ia tidak dapat ~ perasaan hatinya;
kerani itu juga mungkin bersubahat ~ rahsia ini;
seperti harimau ~ kukunya
(peribahasa) orang yang hendak menyorok-nyorokkan kelebihan dirinya;

tersembunyi tidak kelihatan, terlindung, dirahsiakan:
apakah yang ~ di sebalik kebaikan hatinya itu?;
tujuan yang ~ dan kemahuan nafsu yang terpendam;

tersembunyi-sembunyi dengan diam-diam (berselindung), tersorok-sorok;

persembunyian tempat bersembunyi (menyembunyikan):
lima bilah pedang telah dijumpai di tempat ~ samseng-samseng di Lorong Pudu;

penyembunyian perbuatan menyembunyikan;

penyembunyi orang yang menyembunyikan sesuatu:
~ harta.

sembunyi

main ~ sejenis permainan menyorok dan mencari, main cari-carian;
~ tuma kepala tersorok ekor kelihatan (peribahasa) menutup perbuatan jahat yang telah diketahui ramai;
lempar batu ~ tangan (peribahasa) berbuat sesuatu kejahatan dan kemudian berpura-pura tidak tahu-menahu;

sembunyi-sembunyi dengan tidak diketahui orang, (secara) diam-diam, (secara) senyap-senyap:
dia masuk pertandingan nyanyian secara ~ kerana tidak direstui oleh keluarganya;
dengan ~
dengan diam-diam:
mereka meninggalkan tempat itu dengan ~;
~ puyuh
(peribahasa)
a) menutup perbuatan jahat yang telah diketahui ramai;
b) tidak mahu tahu akan perkara yang benar-benar berlaku;

sembung

sejenis tumbuhan (herba yang akarnya dibuat ubat), capa, capur, sembang, sembing, sembuh, telinga kerbau, Blumea balsamifera;
~ gajah
sejenis tumbuhan (herba), daun susu babi, pokok lokman al-hakim, rumput pasir, rumput tahi babi, Adenostemma lavenia;
~ hutan
sejenis tumbuhan (rumpai), cenderung (cong-cong) hari, ekor kuda, rumput sepagi, rumput tahi babi, seson daun, Vernonia cinerea;
~ hutan jantan
sejenis tumbuhan (pokok kecil), balung ayam, ceret hutan, kelusam jantan, lemak beruk, merambung bukit, Clerodendron deflexum;
~ jantan
sejenis tumbuhan (herba), capa, ketumbit, riang batik, sawi bulan, Erigeron sumatrensis.

sembulu

[bahasa percakapan] berbulu, tidak licin (papan yang tidak berketam dan lain-lain).

sembul

menyembul, tersembul
1. menganjur atau menonjol keluar (hujung atau kepala sesuatu daripada lubang, liang, permukaan, dan lain-lain):
mata yang tersembul seperti mata buaya;

2. menampakkan diri, menjongol, timbul:
kepala buaya yang tersembul di tepi air;
sebelum sedan itu meluncur, lelaki segak itu ~ keluar;

menyembulkan
1. menonjolkan atau mengeluarkan hujung (kepala dan lain-lain):
Dollah ~ biji matanya;

2. = ~ diri menampakkan (menjongolkan) diri, memperlihatkan diri.

sembuh

menjadi sihat kembali (orang sakit), pulih (daripada sakit, penyakit), baik, betah:
orang-orang yang sakit itu akan ~ semula dengan segera;
maka apabila ~ lukanya, maka baliklah ia ke Pagar Ruyung;

menyembuhkan menjadikan sembuh (baik, betah), mengubati (supaya sembuh):
janganlah pula kamu berharap doktor itu boleh ~ penyakit itu dalam beberapa hari sahaja;

kesembuhan perihal sembuh;

penyembuhan perihal menyembuhkan, pemulihan;

penyembuh (sesuatu) yang menyembuhkan:
tiada ubat ~ untuk penyakit AIDS.

sembuang I

pancang yang besar-besar di laut (hujungnya dihubung-hubungkan) untuk melindungi atau tempat menambat perahu dan lain-lain.

semboyan

1. alamat (bunyi tetuang, kibaran bendera, dan lain-lain) untuk memberitahu, tanda, isyarat:
setelah sampai ke pertengahan jalan, kedengaranlah bunyi ~ lima das alamat raja besar telah mangkat;

2. kata rahsia (sebagai alamat untuk mengenal kawan sendiri dan lain-lain):
katakanlah ~ pengenal itu dan kalian akan kuampuni;

3. kata atau rangkaian kata yang dijadikan pegangan atau ikutan, cogan kata:
taat setia ialah ~ bagi pasukan Askar Melayu;
~ kita hanyalah satu, Merdeka dan tetap Merdeka;

bersemboyan menggunakan (memakai) semboyan;

bersemboyankan menggunakan sesuatu sebagai semboyan;

menyemboyankan
1. memberitahu (mengisyaratkan) dengan semboyan;

2. menggunakan atau menjadikan sesuatu (rangkaian kata dan lain-lain) sebagai semboyan.