stet

perkataan yang mengarahkan supaya kata atau frasa asal yang telah dipotong atau dipinda (yang digarisi garis putus-putus) itu dikekalkan, biasanya ditulis di sebelah baris letaknya kata atau frasa berkenaan;

menstetkan menandakan atau membubuh stet sebagai arahan mengekalkan kata atau frasa asal yang telah dipotong atau dipinda:
semasa penyuntingan, perkataan-perkataan itu distetkan kerana penggunaannya didapati tepat dan betul.

stesen

1. bangunan perhentian kereta api atau bas:
apabila turun di ~ Singapura, aku menaiki teksi pula;

2. tempat (bangunan dan sebagainya) yang mempunyai peralatan khas untuk memberikan sesuatu perkhidmatan atau menjalankan aktiviti tertentu:
~ radio;
~ hidroelektrik;
~ jana kuasa;

3. saluran gelombang radio.

sterol

(Biologi) sekumpulan alkohol steroid semula jadi seperti kolesterol dan ergosterol.

steroid

(Kimia) sebatian organik yang mempunyai struktur gelang tertentu dan terdapat semula jadi dalam tumbuhan dan haiwan, termasuk sesetengah hormon dan vitamin:
Ben Johnson didapati positif menggunakan ~ dalam acara 100 meter di Sukan Olimpik Seoul.

sternum

(Biologi) tulang yang terletak pada garis tengah dada vertebrat (pada vertebrat peringkat tinggi, seperti mamalia, tulang ini merupakan tempat bersambungnya tulang rusuk).

sterling

1. piawai (wang, logam murni);

2. mata wang Inggeris yang piawai;
wang (paun) ~ sejenis mata wang Inggeris.

steril

1. terpelihara (bebas, bersih) daripada kuman atau hama;

2. [Indonesia] tidak subur, tidak dapat beranak atau berbuah, mandul;

mensteril menjadikan steril (bebas daripada kuman):
gunakan jarum atau pin yang sudah disteril;

kesterilan perihal atau keadaan steril;

pensterilan perihal (perbuatan dan sebagainya) menjadikan steril, sterilisasi;

pensteril alat untuk mensteril:
~ alat-alat bedah dan sebagainya.

stereotaip

tidak mengandungi atau menunjukkan ciri-ciri dan sebagainya yang baru atau asli, biasa sahaja sebagaimana yang sering kali kedapatan (kedengaran dan sebagainya):
pendekatan dan kaedah pengajaran amat ~, terkongkong, dan konvensional;
temanya ~ tetapi perutusannya itu dipentingkan;

menstereotaipkan membuat tanggapan stereotaip tentang seseorang atau sesuatu:
bahasa yang ~ golongan wanita sebagai golongan lemah, sebagai suri rumah dan sebagainya.