1. lapis daripada sesuatu benda (binaan dan lain-lain) yang berbentuk bersusun-susun (bertindih-tindih, berlapis-lapis), lantai ketinggian, lenggek (bangunan), tumpuan (tangan dan lain-lain):
bangunan enam ~ itu akan siap hujung tahun ini;
mangkuk ~ bekas yang bertindih-tindih dan dirangkaikan oleh pemegangnya, mangkuk tepen, siya;
~ peraduan lantai yang lebih tinggi letaknya untuk tempat tidur;
2. = tingkatan taraf kedudukan (jawatan, kemajuan, dan lain-lain), darjat, kelas, pangkat, peringkat:
jawatannya sekarang lebih tinggi ~nya daripada jawatan sebelumnya;
kemajuan ekonomi negeri ini sudah mencapai tingkatan yang agak tinggi;
~ hidup taraf hidup;
3. = tingkatan batas waktu, perenggan sesuatu kejadian (proses), takat:
rancangan itu masih dalam ~ permulaan;
setingkat
1. satu tingkat (tingkatan);
2. = ~ dengan sama tingkatnya atau martabatnya dan lain-lain (dengan), setaraf (dengan);
~ demi ~ sedikit demi sedikit (bertambah dan lain-lain);
tingkat-tingkat [Minangkabau] pemijak kaki;
tetingkat kepingan papan dan sebagainya tempat meletakkan buku (pakaian, kasut, dan sebagainya), rak, para;
bertingkat ada tingkatnya, mempunyai tingkat;
bertingkat-tingkat
1. berlenggek-lenggek, bersusun-susun, bertindih-tindih:
bangunan-bangunan lama dirobohkan dan pada tempatnya didirikan bangunan yang ~;
2. berkelas-kelas, berpangkat-pangkat, bertaraf-taraf:
kebolehan kanak-kanak dalam pelajaran mereka ~ antara seorang dengan yang lain;
kedudukan manusia dalam sesuatu masyarakat lazimnya ~;
3. makin tinggi (naik, sukar, dan lain-lain) sedikit demi sedikit:
dalam tempoh sepuluh tahun pangkatnya naik ~ daripada askar biasa menjadi kapten;
meningkat
1. menginjak (tangga dan lain-lain) untuk naik ke atas, memanjat (pokok dan lain-lain), menaiki (basikal dan lain-lain):
sedang mentuanya membawa perian dan labu ke pancuran, Basanai ~ pintu itu;
2. mencapai tingkat (angka dan lain-lain), naik (meninggi, mengatas, dan lain-lain), bertambah banyak (hebat, penting, dan lain-lain):
perbelanjaan untuk pendidikan ~ dari setahun ke setahun;
dengan ini jumlah kematian telah ~ ke angka 79 orang;
keriangannya ~ dan ia berdiri memberi pidato tanpa rancangan;
3. berubah dalam keadaan (masa dan lain-lain) yang lain:
apabila ~ dewasa anak itu menjadi seorang pahlawan muda yang gagah berani;
meningkat-ningkat
1. terus meningkat (bertambah dan lain-lain):
keuntungan yang diperolehnya ~;
2. menjadikan bertingkat-tingkat (berlapis-lapis, bersusun yang satu di atas yang lain);
meningkatkan meninggikan kedudukan (taraf dan lain-lain), membesarkan (pengeluaran dan lain-lain), memperhebat:
daya usaha ini akan ~ kemungkinan pertumbuhan ekonomi;
kerjasama antara parti-parti komponen BN perlu ditingkatkan lagi;
~ diri membesarkan (mengangkat) diri;
mempertingkat menjadikan lebih tinggi atau lebih besar lagi (kedudukan, taraf, mutu, hasil pengeluaran, dan lain-lain), menjadikan lebih hebat (giat, erat, dan lain-lain), memperhebat:
peranan ~ mutu bahasa Melayu tidak terletak di bahu pengkaji dan peminat bahasa sahaja;
sikap kejam Soviet itu telah menambah keazaman Mujahideen untuk ~ perjuangan mereka;
tingkatan tingkat, kelas, peringkat, perenggan, takat;
~ gaji peringkat (tingkat) gaji;
orang ~ atasan orang kelas (golongan) atasan;
peningkatan perbuatan (usaha dan sebagainya) meningkatkan atau mempertingkatkan:
~ daya pengeluaran;
~ hasil jualan;
~ mutu.