pantang

1. = pantangan sesuatu yang dilarang melakukannya (menurut adat atau kepercayaan), larangan:
bagi ibu-ibu yang sihat tiadalah apa-apa ~ atau larangan yang dikenakan tentang apa-apa makanan;
~ di hutan (di laut)
sesuatu yang tidak boleh disebut atau dibuat sewaktu di hutan (di laut);

2. = pantangan makanan (minuman) yang ditegah (terlarang) untuk sesuatu penyakit dan lain-lain:
penyakit gatal ini ~nya ialah udang;
daging lembu ialah ~ bagi orang yang beragama Hindu;

3. keadaan tidak boleh melakukan atau memakan sesuatu (berkenaan (dengan) perempuan sewaktu 44 hari selepas bersalin dan lain-lain):
keadaan Minah selama dalam ~, tidur baring di atas penyalai;
memang laki-laki ~ surut;
dalam ~
dalam keadaan tidak boleh berbuat sesuatu yang terlarang selama 44 hari (berkenaan (dengan) perempuan yang baru bersalin), dalam hari;
makan ~ makan dengan tidak boleh memakan makanan tertentu;

4. tidak mahu (suka):
Lahuma tersangat ~ padinya dikacau musuh;
dia berkepala batu, ~ menyerah;

5. tidak dapat (boleh):
orang sini ~ tengok orang yang belum berkahwin;
musuh ~ dicari
musuh tidak boleh (jangan) dicari;

6. = kepantangan sesuatu yang tidak disukai (dibenci, dikutuki);
~ gelanggang perbuatan yang dilarang melakukannya sewaktu menyabung ayam;
~ larang = ~ pemali bermacam-macam pantang atau larangan;
~ kutu dicukur, ~ manusia dihina (peribahasa) berhati-hati bercakap supaya jangan sampai menghina orang yang dilawan bercakap;
~ lang dengan ayam lambat-laun disambar juga (peribahasa)
a) lelaki kalau berdekatan (bergaul) dengan perempuan akhirnya jadi tidak baik jua;
b) pencuri tidak boleh melihat harta orang, lambat-laun dicurinya jua;
~ mati sebelum ajal (peribahasa) tidak akan mati sebelum waktunya;
~ si tegang dibawa mengetul (peribahasa) orang keras kepala tiada dapat mendengar kata (nasihat) orang;

berpantang
1. mempunyai pantang (tidak boleh makan dan lain-lain sesuatu, tidak mahu atau tidak suka, tidak dapat atau tidak boleh):
~ ayam dan daging;

2. ada larangannya, tidak bebas:
maka Hang Tuah pun keluar masuk tiada ~ lagi;
jenaka Amerika timbulnya secara meluap-luap dan spontan, berbanding dengan jenaka Inggeris yang berpantang-pantang;

memantang
1. sengaja tidak mahu memakan dan lain-lain sesuatu;
~ kopi tidak mahu meminum kopi;

2. menolak, menampek;
tiada ~ lawan tiada menolak lawan;

memantangkan menjadikan pantang, melarang memakan (melakukan dan lain-lain) sesuatu:
makanan-makanan ini tidak dipantangkan kepada semua orang;
tiada ~ barang sesuatu pekerjaan
barang apa pekerjaan pun dikerjakan;

pantangan pantang, larangan, makanan (minuman) yang terlarang;

kepantangan pantang, yang tidak disukai:
bergambar bertiga itu ~ orang tua-tua;bagai memegang buah ~ beruk, ditelan mati emak diluahkan mati bapa (peribahasa) serba salah;
pejatian awak ~ orang (peribahasa) berbeza (bertentangan) pendapat dengan orang ramai;

perpantangan berkenaan pantang:
barang ~;

pemantangan perihal atau perbuatan memantang atau memantangkan:
kehamilan yang kerap dan ~ makanan yang berulang kali tidak memberi peluang kepada ibu yang bersalin untuk kembali pulih kepada keadaan kesihatan yang asal.

berkongsi