panas

1. lawan sejuk (dingin), hangat;
air ~ air yang dimasak (dihangatkan);

2. demam, gerah, palak;
demam ~ penyakit demam dengan suhu badan yang sangat panas (tinggi);
sakit ~ demam;

3. sinar atau cahaya (matahari):
apabila kena ~ matahari bernyala rupanya;
matanya itu selalu pula terkejip-kejip, terutama apabila menentang ~;
hujan ~
hujan pada waktu matahari bersinar;

4. [kiasan] sangat marah, sangat sakit hati:
dengan perasaan hati yang ~ ia bangun segera;
bagaimana hendak menyudahkan kerana hati terlampau ~;

5. [kiasan] hebat, genting, tegang:
pertentangan semakin ~;

6. masih baharu (peristiwa dan lain-lain):
semalam ia mendapat berita ~ untuk akhbarnya;

7. tidak kurang tetapi lebih pula sedikit (timbangan):
timbang ~;

8. tidak memberi keuntungan, mendatangkan bala, sial;
ilmu ~ ilmu yang membuat orang yang memakainya susah (mahal rezeki dan lain-lain);
~ baran (bara, darah) cepat marah, sangat pemarah;
~ hati sangat marah (benci);
~ kering panas dan kering;
~ pedih tidak tetap (senang) duduk;
~ radang panas badan (kerana berpeluh dan lain-lain), palak;
~ rezeki mahal rezeki;
~ sengangar sangat panas (hawa);
~ terik = ~ jantan [Perak] = ~ ngetek [Kelantan] sangat panas (matahari);
~ setahun hujan sehari, liput tanjung dengan pulau = ~ setahun dihapuskan oleh hujan sehari (peribahasa) jasa atau kebaikan yang banyak boleh hilang oleh kesalahan yang sedikit;
bagai ~ mengandungi hujan (peribahasa) walaupun dibawa ketawa, nampak juga kesusahannya (orang dalam kesusahan);
disangka ~ sampai petang, kiranya hujan tengah hari (peribahasa) disangka senang (baik dan lain-lain) selama-lamanya tiba-tiba ditimpa kesusahan (bahaya dan lain-lain);
memegang besi ~ (peribahasa) melakukan sesuatu dengan kebimbangan (kekhuatiran dan lain-lain);
menyeladang bagai ~ di padang (peribahasa) sesuatu hal (perbuatan dan lain-lain) yang mengenai semuanya;
redup atau ~ keras (peribahasa) hidup atau mati, untung atau rugi, beradu nasib sahaja;
sudah ~ berbaju pula (peribahasa) sudah susah ditambah lagi dengan kesusahan;
tak ~ punggung [Kelantan] (peribahasa) sebentar sahaja;
tidak lekang dek (oleh) ~;
tidak lapuk dek (oleh) hujan
(peribahasa) tiada berubah-ubah, tetap selama-lamanya (berkenaan (dengan) adat);

panas-panas masih baharu, hangat-hangat;

berpanas berada dalam panas matahari, berjemur:
nelayan yang ~ dan berhujan di laut;

berpanas-panasan berjemur dalam panas matahari untuk bersuka-suka:
mereka yang sedang ~ di pantai itu;

memanasi
1. menghangatkan:
periuk yang masih dipanasi bara;

2. menambah panas;

memanaskan menyebabkan (menjadikan) panas, menghangatkan:
makanan-makanan itu ialah untuk ~ tubuh badan kita;
~ hati
menimbulkan (membangkitkan) marah (benci);
~ kerusi memegang sesuatu jawatan (kedudukan dan sebagainya) tanpa melakukan atau mencapai sesuatu;

memperpanas menjadikan lebih panas:
matahari semakin ~ dirinya;

kepanasan
1. perihal panas, kehangatan:
ada alat penetap suhu yang mengawal ~;
~ hati
kemarahan hati;

2. tersangat panas;

3. kena panas;

pemanasan perihal memanasi (memanaskan):
tindakan kimia bertambah cepat dengan ~;

berkongsi