dewangga

= kain ~ (ERT) kain yang ditekat atau disulam dengan benang berwarna-warni untuk membuat pelbagai corak atau gambar yang menarik, biasanya digantung di dinding dan sebagainya sebagai perhiasan;
sutera ~ kain sutera yang bercorak indah.

dewasa

1. sudah baligh, sudah berumur 21 tahun ke atas, sudah cukup besar:
orang ~ dikenakan bayaran masuk yang lebih tinggi daripada kanak-kanak;

2. sudah cukup besar (berkenaan (dengan) binatang, tumbuh-tumbuhan, dan sebagainya):
lipas yang sudah ~ berwarna perang kehitam-hitaman;

3. pada masa, pada ketika, pada waktu:
adat seperti itu tidak sesuai lagi dengan keadaan ~ ini;

4. [kiasan] sudah banyak pengalaman dan pengetahuannya, matang:
kini Malaysia telah mula ~ dan telah pun melalui berbagai-bagai pengalaman dan peristiwa selama dua puluh tahun ia tegak sebagai sebuah negara merdeka;

mendewasa menjadi dewasa:
ia dilahirkan dan ~ pada zaman perang;

mendewasakan
1. menjadikan dewasa (manusia, binatang, dan sebagainya), membesarkan;

2. menjadikan dewasa atau matang (pemikiran, pengalaman, dan sebagainya):
Razman lebih suka hidup di laut, meluaskan pengalaman dan pandangannya sambil ~ fikirannya;

kedewasaan perihal (keadaan yang) dewasa (matang), kematangan:
dia belum lagi mencapai ~nya;
~nya ternyata pada fikiran-fikiran bernas yang dikemukakannya;

pendewasaan
1. perihal atau proses mendewasakan (membesarkan dan sebagainya), pembesaran:
proses ~ ovari itu terkawal (benda hidup) oleh hormon-hormon yang dikeluarkan oleh ovari dan kelenjar lain;

2. perihal atau proses mendewasakan (pemikiran, pengalaman, dan sebagainya), pematangan:
~ sastera bererti kepelbagaian tema yang diterokai dan kepelbagaian aliran teknik dalam penulisannya.

dewata

sl
1. dewa;
dewa ~ = Sang yang ~ [sastera lama] peri yang berkuasa;
D~ Mulia Raya [sastera lama] dewa yang tertinggi;

2. perihal (bersifat) dewa;
burung (manuk, paksi, unggas) ~ [sastera lama] burung cenderawasih;

mendewatakan mendewakan;

kedewataan kedewaan.

dewek

[Jawa] [arkaik] [bahasa percakapan] sendiri, diri sendiri;
aku ~ aku sendiri.

dewi

1. dewa perempuan:
~ Dermadewi;
~ Pertiwi;

2. [kiasan] jantung (buah) hati (berkenaan (dengan) perempuan yang cantik);

kedewian sifat seperti dewi, tentang dewi:
wajahnya menyerlahkan sifat kemanusiaan dan juga ~.

di I

1. kata sendi nama yang menunjukkan tempat dan lain-lain:
ketika cuti sekolah, Busu lebih suka duduk ~ rumah daripada berjalan-jalan;
~ atas;
~ bawah;

2. pada, dalam:
wajah Mawi terbayang ~ mata Aini;
~ hari kemudian;

3. [Minangkabau] pada, kepada, akan, oleh, dari;
datang ~ air datang dari sungai.

di II

awalan yang membentuk kata kerja pasif (diri ketiga):
dia mati dibunuh perompak.