buas

1. ganas, galak:
binatang yang ~;

2. bengis, kejam, zalim:
hatta sekali persetua pencuri terlalu ~ dalam negeri Melaka;

3. tidak terkawal:
untuk memuaskan nafsu ~;

membuas mengganas, berlaku bengis:
perompak-perompak sangat ~ pada masa ini;

kebuasan kebengisan, keganasan, kezaliman:
menahan nafsu ~.

buasir

penyakit yang disebabkan urat darah pada dubur membengkak, puru sembilik, hemoroid.

buat

1. [bahasa percakapan] = berbuat, membuat:
dia tu sehari dua ini ~ duit betul;

2. untuk, bagi:
~ sementara;
rumah ini didirikan bukan ~ kita laki-laki;
wang ~ beli baju;

3. dijadikan sebagai:
~ penghibur di kala sunyi;
~ kawan (teman);

berbuat
1. mengerjakan (melakukan) sesuatu:
~ baik (jahat, salah, dan lain-lain);
ia tidak ~ apa-apa;

2. [sastera lama] = membuat:
maka Sultan Mansor Shah memberi titah pada Bendahara Paduka Raja menyuruh ~ istana;
maka baginda ~ sebuah negeri terlalu besar;
~ baik berpada-pada, ~ jahat jangan sekali
(peribahasa) berbuat baik hendaknya berhad (jangan berlebih-lebihan), pekerjaan jahat jangan sekali-kali dibuat;
~ kerja seperti Mak Jujai (peribahasa) orang yang selalu meninggalkan pekerjaan terbengkalai;

membuat
1. = memperbuat membikin, membentuk, mencipta:
~ rumah, ~ surat;

2. mengerjakan, melaksanakan, melakukan, menjalankan:
apa yang hendak dibuat, nasi telah menjadi bubur;

3. menyebabkan, menimbulkan, menerbitkan, mendatangkan, menjadikan:
~ bagus;
~ buruk;
~ malu;
~ marah;
~ takut;
~ bodoh

a) membodohkan;
b) berpura-pura bodoh;

4. memperlakukan (orang dan lain-lain):
saya tak tahan melihatkan Narto dibuat begitu;

5. menggunakan untuk, memakai untuk:
janganlah kain itu dibuat baju;

6. = membuat-buat berpura-pura, berlaku pura-pura, berbuat seakan-akan:
senyuman yang dibuat-buat;
~ mahu, menuras tidak
(peribahasa) orang yang mencuba hendak membuat sesuatu pekerjaan, tetapi malas mempelajarinya;

membuatkan membuat sesuatu untuk:
ia ~ adiknya segelas minuman;

memperbuatkan membuat (dengan usaha):
bahawa hamba minta diperbuatkan hikayat pada Bendahara;

terbuat dibuat (daripada):
dinding rumah itu ~ daripada papan peti susu;

terperbuat telah dibuat (dikerjakan dan lain-lain);
jika yang baik ~ bersilang cerana datang, jika yang buruk ~ bersilang telunjuk di bibir (peribahasa) perbuatan baik dapat pujian, perbuatan buruk dapat celaan;

buatan
1. hasil pekerjaan:
kasut ~ tempatan;
baju ~ sendiri;

2. sesuatu yang dikerjakan, kerja:
tak lain ~nya hanyalah berleter setiap hari;

3. cara (pekerjaan) membuat:
rumah ini baik ~nya;

4. yang dibuat (manusia), dari alam (tidak asli):
baja ~ ;
bunga ~;

5. hasil ilmu ghaib:
penyakitnya ini ~ orang;

6. = buat-buatan yang dibuat-buat, tidak sungguh-sungguh, pura-pura:
sakit ~;
tidur ~;
bukan ~
bukan main-main, amat sangat;

perbuatan segala yang dibuat, kerja, tindakan:
dibuatnya segala ~ yang salah;
~ siapa ini?;
ia melarat kerana ~nya sendiri;

pembuatan perihal (kegiatan, usaha, dan sebagainya) membuat:
perjanjian ini mengehadkan ~ kapal perang oleh Jepun;

pembuat (orang dan lain-lain) yang membuat:
kilang ~ paku.

buaya I

1. sejenis reptilia besar berkulit tebal, berbadan panjang dan hidup di air:
Crocodilus spp.;
jenis-jenisnya:
~ katak = ~ tembaga, Crocodilus porosus;
~ jolong-jolong
= ~ jenjulung, Tomistoma schlegeli;
~ serunai, Crocodilus siamensis;

2. = ~ darat [kiasan] lelaki yang suka menukar-nukar pasangan wanitanya dan meninggalkan mereka setelah dinodai;
adakah ~ menolak bangkai (peribahasa) orang yang jahat tidak akan meninggalkan kesempatan untuk membuat kejahatan;
air tenang, jangan disangka tiada ~ (peribahasa) orang yang tidak banyak cakap itu, jangan dipermudah (jangan disangka tiada berani dan lain-lain);
bergalah ke hilir tertawa ~, bersuluh di bulan terang tertawa harimau (peribahasa) perbuatan yang sia-sia itu ditertawakan orang;
kalau menyeberang sungai biarlah ditelan oleh ~, tetapi janganlah dipagut oleh ikan kecil-kecil (peribahasa) kalau berbuat salah biarlah dihukum oleh orang besar, jangan dianiaya oleh orang kecil-kecil;
tak akan terlawan ~ menyelam air (peribahasa) tidak mungkin kita melawan orang yang kaya (berkuasa, pandai, dan lain-lain);
tak usah diajar anak ~ berenang, ia sudah pandai juga (sedia) (peribahasa) tidak usah diajar orang yang sudah tahu;

membuaya
1. menyerupai buaya, merangkak, meluncur;

2. berkelakuan seperti buaya darat;

membuayai
1. menipu, mengakali;

2. menggertak;

kebuayaan sifat atau perbuatan buaya darat, sifat suka mempermainkan perempuan:
ia hendak mendedahkan ~ pemuda-pemuda kota di dalam novelnya.

bubar

1. cerai-berai (orang ramai yang berkumpul dan lain-lain), berserak-serak, bersurai:
penunjuk-penunjuk perasaan ~ setelah polis mendapat bantuan lagi;

2. habis, selesai (mesyuarat, sekolah, dan lain-lain), usai:
ketika ia sampai, mesyuarat baru saja ~;

3. selesai tugas, berhenti (kabinet, pertubuhan, dan lain-lain):
syarikat kerjasama itu ~ kerana ahli-ahli tidak menunaikan tanggungannya;

membubarkan
1. menjadikan (menyuruh) bubar, mencerai-beraikan, menyuraikan:
tunjuk perasaan itu dibubarkan polis;

2. menghabiskan (tugas dan lain-lain), menghentikan (mesyuarat dan lain-lain), meniadakan:
baginda mempunyai kuasa melantik PM atau ~ parlimen;

pembubaran perihal (tindakan dan sebagainya) membubarkan:
~ Dewan Rakyat;
~ syarikat;
~ Parlimen
(Undang-undang) perihal membubarkan Parlimen untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan;

pembubar
1. orang dan lain-lain yang membubarkan;

2. (Ekonomi) orang yang menyelenggarakan pembubaran sesuatu syarikat dan lain-lain.

bubo

(Perubatan) radang dan bengkak nodus limfa, biasanya bernanah, terutamanya di bahagian ketiak dan pangkal paha.

bubu

beberapa jenis alat penangkap ikan (berupa bakul yang membolehkan ikan masuk tetapi menghalangnya keluar);
jenis-jenisnya:
~ batang (panjang, tidur), ~ diam (duduk), ~ jantung, ~ tadah;
menahan ~
= memasang ~ menempatkan bubu dalam air untuk menangkap ikan;
~ duduk jiwaku hilang (peribahasa) sia-sia melawan orang yang lebih daripada kita (hanya menyusahkan diri sendiri);

membubu
1. berbentuk bubu, menyerupai bubu;

2. menangkap ikan dengan bubu.