[Jawa] tidur.
turuk-turuk
[Brunei] caping.
turun I
1. dari tempat yang lebih tinggi ke tempat yang lebih rendah, dari atas ke bawah, lawan naik;
2. (datang) dari hulu ke hilir atau dari daerah atas angin ke bawah angin:
ia baru ~ dari merotan;
maka iaitu ~ dari Yaman ke bawah angin, maka singgahlah ia di Tanah Keling;
3. (pergi) dari pedalaman (kampung dan lain-lain) ke bandar:
terpaksa juga saya ~ ke bandar hari ini;
4. mengendap ke bawah (keladak dalam air dan lain-lain), surut (air), hampir terbenam (matahari, bulan, dan lain-lain), jatuh:
hampas kopi itu telah ~;
matahari ~ matahari sudah hampir terbenam;
(matahari) tengah ~ waktu petang (lebih kurang pukul 3.30);
5. [kiasan] telah berkurang (marah, nafsu, dan lain-lain), reda:
kemarahannya tidak juga ~-~ lagi;
6. keluar atau meninggalkan kenderaan ke bawah, keluar dari perahu dan lain-lain dan naik ke darat:
maka ~lah orang sekoci pergi mengambil air;
maka lalu ~lah sahaya berjalan-jalan melihat-lihat kampung dan pasar di situ;
7. dari darat pergi naik ke kapal (perahu dan lain-lain), menaiki kapal (perahu dan lain-lain):
maka ~lah ia ke sampannya lalu berkayuh;
8. keluar dari rumah, pergi atau pulang (tetamu):
lebih kurang pukul sebelas malam barulah kami ~ dari rumahnya;
9. menjadi kurang atau rendah daripada biasa (harga dan lain-lain), jatuh, merosot, susut (hasil dan lain-lain):
naik dan ~nya jualan tuan pada tiap-tiap bulan, terpulanglah kepada kecekapan tuan menguruskan perniagaan;
10. datang dari sesuatu yang dianggap tinggi (di atas), mewarisi sesuatu (perangai dan lain-lain) daripada datuk nenek dan lain-lain, memasuki (roh, orang halus, dan lain-lain):
semua sekali ayat yang terhimpun di dalam Quran sekarang ini ~nya dalam waktu dua puluh tiga tahun;
11. datang jatuh (hujan, salji), datang bertiup (angin ribut):
tiba-tiba ~lah hujan rintik-rintik;
pada pagi itu ~lah pula ribut serta dengan hujannya;
12. hilang warnanya (kain dan lain-lain), luntur (warna kain dan lain-lain):
corak yang tidak ~, iaitu warnanya tidak berubah apabila dibasuh;~ darah
a) keluar darah dengan banyaknya (perempuan yang telah bersalin atau keguguran);
b) sudah reda (berkurangan) marahnya;
~ haji kembali selepas mengerjakan haji (di Mekah);
~ harga menjadi lebih rendah harganya;
~ ke sawah pergi bekerja di sawah;
~ main [Jakarta] berehat (bagi kanak-kanak sekolah) separuh waktu;
~ makan [Jakarta] berhenti bekerja untuk makan (pekerja);
~ mandi = ~ ke air upacara memandikan bayi untuk pertama kali;
~ merek [Indonesia]
a) mendapat nama buruk;
b) sudah tidak megah lagi;
~ minum [Jakarta] berhenti bermain untuk minum (pemain bola sepak dan lain-lain);
~ minyak menjadi berang atau ganas (binatang seperti gajah dan lain-lain);
~ naik = naik ~
a) tidak sama atau tidak rata (jalan dan lain-lain), tinggi rendah;
b) sekejap turun sekejap naik (nafas dan lain-lain), sentiasa bergerak-gerak;
c) sentiasa berubah-ubah, tidak tetap (ekonomi sesebuah negara dan lain-lain);
~ padang pergi sendiri (biasanya pemimpin, pembesar dan sebagainya) ke sesuatu tempat untuk menyiasat (meninjau, melihat dan sebagainya) sesuatu keadaan, masalah dan sebagainya;
~ ranjang [Jakarta] mengahwini saudara atau sanak isteri yang telah meninggal;
~ takhta = ~ dari takhta kerajaan = ~ dari kebesaran meninggalkan takhta (tidak menjadi raja lagi), makzul;
~ tangan
a) turut mencampuri sesuatu hal dan lain-lain;
b) turut menyiapkan sesuatu pekerjaan dan lain-lain;
c) turut memberikan pertolongan (kpada orang miskin dan lain-lain);
~ tangga
a) turun melalui tangga;
b) bertingkat-tingkat (pangkat, tinggi, umur, dan lain-lain) dan hanya sedikit sahaja bezanya;
c) [kata seru] istiadat membawa pengantin laki-laki turun dan naik tangga sebanyak tiga atau tujuh kali (oleh pihak pengantin perempuan);
~-temurun = ~-menurun berpindah-pindah daripada bapa kepada anak, daripada anak kepada cucu dan seterusnya, daripada nenek moyang turun kepada anak cucu dan lain-lain;
sama ~ dengan malim (peribahasa) perempuan yang dalam tempoh sebulan sahaja sesudah kahwin diceraikan oleh suaminya;
berturun turut mengeluarkan wang sebagai derma (yuran, sokongan, dan lain-lain):
mereka ~ lima ringgit seorang untuk menolong mangsa banjir di Kelantan;
menurun
1. agak miring (tanah, pantai, dan lain-lain), landai ke bawah:
gunung itu ~ dengan curamnya arah ke timur;
2. pergi dari atas ke bawah (bukit dan lain-lain), pergi melalui lereng bukit dan lain-lain ke bawah:
ia bergegas melangkah ~ bukit yang curam menjunam itu;
3. menjadi kurang daripada biasa, beransur-ansur turun, menjadi reda (kemarahan dan lain-lain), berkurang, surut, susut:
debar darahku ~ dan dadaku terasa lapang;
mereka ditangkap kerana dituduh menjalankan sabotaj yang menyebabkan penghasilan kilang itu ~;
4. berpindah kepada (daripada bapa kepada anak, daripada anak kepada cucu, dan lain-lain), turun kepada:
ia benar-benar ~ kelakuan bapanya;
5. kemasukan roh halus ke dalam tubuh (pawang, bomoh, dan lain-lain), berada dalam keadaan tidak sedar dan seterusnya dapat menghubungi makhluk-makhluk halus (berkenaan (dengan) bomoh, pawang, dan lain-lain), bersawai:
cara mengubat penyakit kadang-kadang dilakukan dengan cara ~;
saya dapat menyaksikan bagaimana gayanya orang berpawang dan pawang ~ hantu;
~ hujan mendatangkan hujan;
menuruni
1. turun melalui (tangga, lereng bukit, dan lain-lain):
kemudian dia berlari-lari ~ tangga hotel itu;
2. turun untuk mengambil dan lain-lain sesuatu, turun ke;
~ telaga turun ke dalam telaga;
3. keluar dari rumah untuk menghadap (menangkap, mengejar), turun untuk menyambut (kedatangan orang dan lain-lain):
jikalau anak raja datang, tiada dituruninya, melainkan anak raja yang akan ganti kerajaan maka dituruninya;
menurunkan
1. membawa turun (ke bawah), menarik turun, menjatuhkan, merendahkan:
dilihat orang layang-layang Raja Ahmad sudah naik, maka segala orang banyak ~ layang-layangnya;
maka sekalian baris itu ~ senapangnya memberi hormat;
2. mengeluarkan dari kenderaan (kereta, perahu, dan lain-lain), menyuruh turun:
setelah ~ kami di masjid besar, maka drebar itu pun membawa balik motokar itu ke Yan;
3. menjadikan rendah (pangkat, kedudukan, dan lain-lain), memakzulkan (raja dan lain-lain):
setelah Abdullah menjadi sultan memanglah sukar hendak ~nya balik;
4. menjadikan kurang (harga dan lain-lain), mengurangkan, menyusuntukan (hasil dan lain-lain), memerosotkan:
ia boleh membuat undang-undang baru, menukar undang-undang lama, menaikkan atau ~ cukai;
5. menjadikan perlahan (suara), merendahkan;
6. memindahkan sesuatu kepada (anak, cucu, dan lain-lain), mewariskan sesuatu kepada, meninggalkan (harta, ilmu, dan lain-lain) kepada:
harta si mati itu mesti diturunkan kepada warisnya;
dia akan ~ ilmunya kepada orang yang hanya betul-betul hendak belajar sahaja;
~ baka memindahkan baka;
~ kuasa memindahkan kuasa (kepada orang bawahan dan lain-lain);
7. menternakkan, menggembalakan (lembu dan sebagainya);
8. mendatangkan (wahyu dan lain-lain) kepada, menyampaikan (ilham dan lain-lain) kepada, mewahyukan, mengilhamkan:
wajib kita percaya kepada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah kepada rasul-rasul;
9. memulakan menanam (padi dan lain-lain):
maka bertitah baginda suruh Bujang Selamat panggil Tuk Bidan Raja datang menugal dan ~ benih;
10. menyebabkan turun, mengggugurkan, menjatuhkan:
kebanyakan hujan di Semenanjung adalah hujan ribut yang ~ sampai 30 cm dalam sehari;
11. menjadikan turun (warna kain dan lain-lain), melunturkan (warna), memudarkan:
serbuk pencuci itu akan ~ warna dan merosakkan corak kain itu;
12. [Indonesia] membentuk kata terbitan daripada kata pokok yang diberi imbuhan (awalan, sisipan, atau akhiran):
dengan bersisipkan em, kata gerlap diturunkan menjadi gemerlap;
13. memilih atau meletakkan pemain dalam pertandingan (bola sepak dan lain-lain), memilih pemain untuk mewakili sesuatu pasukan (dan seterusnya bermain dalam sesuatu perlawanan):
mereka telah ~ pemain-pemain yang handal untuk menentang pasukan dari luar negara itu;
memperturun ~ hari mendatangkan hujan dengan doa dan lain-lain;
turunan
1. = keturunan anak cucu, baka, zuriat:
betapa senang dan gembira hati Pak Long Karim melihat usahanya dan jasanya untuk anak dan ~nya masa akan datang;
2. peranakan, kacukan:
dekat baginda kelihatan perajurit pilihan, iaitu perajurit Daengan dan Bugisan ~ Mengkasar dan Bugis;
3. sesuatu yang dipusakai daripada nenek moyang, sesuatu yang turun-temurun:
ayahnya sendiri seorang tua model lama, amat kukuh memegang kebiasaan ~, tetapi tidak pandai menjaga anaknya;
4. = kata ~ [Indonesia] (Linguistik) kata yang dibentuk daripada kata pokok, kata terbitan, kata bersambungan;
5. [bahasa percakapan] penurunan;
keturunan
1. yang diturunkan daripada, anak cucu kepada, turunan, zuriat:
dalam bahasa Melayu klasik kata putera semata-mata diperuntukkan bagi anak laki-laki ~ raja;
2. sesuatu yang diwarisi:
dia memang orang biasa yang tidak mempunyai gelar ~ apa-apa;
3. menderita (sakit dan lain-lain) yang turun-temurun, mendapat sesuatu yang menurun;
4. perihal dimasuki roh halus, kemasukan roh halus;
berketurunan mempunyai keturunan (zuriat);
penurunan
1. bahagian bukit (lereng, jalan, dan lain-lain) yang menurun, lawan pendakian:
akhir sekali, akan berhenti pendakian dan ~ itu di satu padang yang luas terbentang;
2. perihal menuruni atau menurunkan (dalam berbagai-bagai makna), pembongkaran (barang dari kapal dan lain-lain);
3. perihal merendahkan (harga, nilai, dan lain-lain), pengurangan, penyusutan:
~ nilai mata wang Sterling akan membaiki keadaan ekonomi British yang sedang merosot;
4. (Kimia) proses mengeluarkan oksigen daripada sebatian atau memasukkan hidrogen ke dalam sebatian.
turun II
menurun
1. meniru (tulisan dan lain-lain) daripada yang lain, menulis semula, menyalin;
2. meniru perbuatan orang lain, mencontohi orang lain;
menurunkan, memperturunkan
1. menulis kembali, menyalin (daripada sesuatu yang lain):
di bawah ini kita turunkan lima rangkap permulaan daripada Syair Perahu;
ayat yang diperturunkan di bawah ini mengandungi beberapa kekurangan tentang jalan bahasanya;
2. membuat karangan dan lain-lain dengan memadankannya dengan yang lain, mencontohi (karangan dan lain-lain) yang lain:
Hikayat Ken Tambuhan naskhah ini telah diperturunkan daripada Syair Ken Tambuhan;
3. menulis (dengan lengkap), mencatatkan:
di bawah ini diturunkan dengan ringkas cara-cara yang digunakan oleh penyair Melayu untuk mendapatkan rima;
4. membubuh (tandatangan, cap, dan lain-lain) pada sesuatu:
pengantin lelaki itu ~ tandatangannya ke dalam Buku Daftar Perkahwinan kerajaan;
turunan sesuatu yang diturunkan (surat dan lain-lain), salinan.
turus
1. tiang daripada kayu dan lain-lain (untuk mengukuhkan pagar, belat, dan lain-lain), tonggak:
dicabutnya ~ pagar yang terpacak itu;
2. kayu atau buluh yang digunakan untuk penjalaran kacang (sirih dan lain-lain), junjungan;
3. = ~ negeri [sastera lama] pembesar negeri (penghulu dan lain-lain), pasak negeri:
betapa peri aku memecat Pateh Aria Gajah Mada ini? Suatu pun tiada salahnya kepada aku, lagi ia penaka ~ bumi Majapahit;
ketua ~ pegawai yang tertinggi dalam tentera (angkatan darat, angkatan laut, angkatan udara);
pegawai ~ kumpulan pegawai kanan (dalam tentera) yang membantu pegawai pemerintahnya;
~ belat tiang atau tonggak yang menahan belat;
~ dayung kayu yang dipasang tegak tempat meletakkan dayung (pada perahu dan lain-lain);
~ empang tiang yang menahan empang (supaya jangan runtuh);
menurus tegak seperti turus;
menuruskan [sastera lama] mengikatkan seseorang pada turus (sebagai hukuman).
turut
1. pergi bersama:
saya ~ ke mana dia pergi;
2. bersama-sama melakukan (ditimpa dan lain-lain) sesuatu, tidak terkecuali daripada (sesuatu kejadian, perbuatan, dan lain-lain), ikut serta:
Ahmad yang ~ terbunuh oleh serangan hendap itu baru semalam ditemui mayatnya;
~ serta bersama-sama mengikuti (melibatkan diri dalam, melakukan, dan lain-lain) sesuatu;
3. patuh kepada (undang-undang, janji, dan lain-lain), taat kepada:
sekiranya kamu ~ akan nasihat ini berbahagialah kamu;
~ campur mencampuri urusan atau hal orang lain;
~ serta ikut serta (melakukan sesuatu dan lain-lain);
pak ~ orang yang sentiasa mengikut (meniru dan lain-lain) orang lain;
seturut
1. sepanjang (yang dihebahkan, diceritakan, dan lain-lain);
2. tidak bersalahan dengan, sesuai dengan (adat dan lain-lain), selaras dengan;
3. langsung selepas, sebaik sahaja:
Bujal menggeleng kepala ~ dengan keluhannya;
berturut bersusun mengikut peraturan, berikutan dengan teratur (tidak ada antara):
cari dua angka ganjil yang ~ dengan syarat selisih di antara ganda dua satu angka dengan yang lain itu 48;
berturut-turut, berturutan
1. tidak berantara antara satu dengan lain, lepas satu-satu, terus-menerus dengan teratur (tidak berselang), tidak berhentinya, beruntun-runtun, bersambung-sambung:
beliau telah kalah dalam tiga pilihan raya kecil kepada parti lawannya secara ~;
2. terus melakukan sesuatu dengan tiada hentinya, bertubi-tubi, berulang-ulang:
maka meriam pun sudahlah diisi, lalu ditembaknya tiga pucuk ~;
berturuti [Minangkabau] dipercayai dan dipakai (percakapan dan lain-lain), diikuti (nasihat dan lain-lain), dipatuhi;
menurut
1. berjalan dan lain-lain mengikut jalan (garis, hala, dan lain-lain) yang tertentu, tidak menyimpang dari jalan dan lain-lain yang tertentu:
~ jalan yang benar;
2. mencontohi (perbuatan orang lain dan lain-lain), meneladan, meniru:
telah dilihat oleh Cina, diturutnya, sebab itulah maka Cina gemar makan kangkung sampai sekarang;
3. mengikut apa yang disuruh (diperintah dan lain-lain), tidak melawan, patuh kepada:
maka segala orang itu pun semuanya ~ seperti kata penghulunya;
4. meluluskan (permintaan, kehendak, dan lain-lain), memenuhi (syarat, ketentuan, dan lain-lain), menyampaikan (harapan dan lain-lain):
Balzac tidak akan dapat melahirkan karya-karyanya yang agung itu jika ia ~ kehendak orang tuanya untuk bertugas sebagai seorang ahli undang-undang;
5. mengikut (berjalan dan lain-lain), mengekori (dari belakang):
dia berjalan menuju ruangan yang di sebelah barat bangunan, aku ~nya dari belakang;
6. seperti yang dikhabarkan (diberitakan, dihebahkan, dan lain-lain), sepanjang (berita dan lain-lain):
~ yang diketahui sebanyak satu suku juta ringgit harga saham telah terjual;
7. sesuai dengan, tidak bertentangan dengan, tidak melanggar (syarat dan lain-lain), selaras dengan:
hari ini ~ pendapat orang alim ialah hari yang baik;
8. tidak bersalahan daripada, serupa dengan:
rupanya ~ rupa neneknya;
9. ikut serta (melakukan sesuatu dan lain-lain), turut serta:
Sultan Mansor Shah pun ~ menyebut nama Hang Tuah itu Laksamana;
10. bergantung pada:
maju mundurnya dalam pelajarannya ~ kerajinannya;
~ lagu mengikut irama atau rentak lagu;
~ pusingan jam mengikut arah pusingan jarum jam;
turut-menurut
1. saling menurut, ikut-mengikut, tidak tentang-menentang;
2. [arkaik] menurut sahaja (fikiran orang dan lain-lain), ikut-ikutan;
menuruti
1. mengikut dari belakang, mengekori, mengikut:
Ismail berganding dengan Lamah berjalan lambat-lambat menuju ke kereta, Bibah ~ mereka dari belakang dengan wajah usang;
2. tidak menegah (melarang), meluluskan (pemberian dan lain-lain), memberi:
diturutinya sahaja kemahuan cahaya matanya yang tunggal itu;
3. menurut akan (nasihat dan lain-lain), tidak menentang, mematuhi:
ia ~ kehendak suaminya;
4. menjadikan sesuatu sebagai contoh (teladan), mencontohi:
jangan dituruti, kerana ia orang yang tidak tahu bahasa;
menuruntukan
1. mengikut (berjalan dan lain-lain) di belakang sesuatu, mengiringkan:
mereka berjalan ~ orang tua mereka;
2. tidak menegahkan (melarangkan), mengikut (kehendak hati dan lain-lain), melayani, memberi:
dari satu bandar ke satu bandar yang lain dia berpindah-pindah ~ hati;
3. mendasarkan pada, menjadikan sebagai dasar:
kerendahan budi selama ini hanya diperintahi oleh perasaan hati, tidak ~ pertimbangan yang adil;
memperturut [sastera lama] mengejar dari belakang, menghambat:
berundurlah mereka balik ke perkhemahannya diperturut oleh tentera Kembayat;
memperturuntukan
1. membiarkan bersama-sama (melakukan sesuatu dan lain-lain), membiarkan turut, tidak mengecualikan;
2. tidak melarangkan (menegahkan), mengikuti (kemahuan, kehendak, dan lain-lain), mematuhi, menuruntukan:
sekali-kali jangan diperturuntukan rasa kecewa, yang mungkin menjadikan orang putus asa;
3. = memperturut-turuntukan melakukan sesuatu berkali-kali, mempertubi-tubi:
perajurit itu pun segeralah berlari-lari serta menikam dada Tun Tuah, diperturut-turuntukannya tikaman itu;
turutan
1. = turut-turutan sesuatu yang diturut (dicontohi, diikuti, dan lain-lain), contoh, teladan:
maka iaitu patutlah menjadi ~ dan teladan bagi segala orang yang terkemudian;
2. yang berturut-turut (berikut-ikut);
3. yang ikut atau turut (bersama);
orang ~ orang yang turut (ikut);
turut-turutan
1. sesuatu yang diturut, contoh, teladan, turutan;
2. selalu menurut (kata dan lain-lain) orang lain, ikut-ikutan:
dia tidak mahu menjadi petani ~;
perturutan
1. perihal berturut-turut (beruntun-runtun);
2. kelanjutan;
seperturutan [sastera lama] sama perbuatan (kelakuan dan lain-lain) dengan, mengikut-ikut orang lain: jika engkau ~
dengan dia, engkau pun terbawa-bawa;
penurut
1. tidak membantah (melawan dan lain-lain), suka menurut, patuh, taat;
2. orang yang mengikut, pengikut.
tus I
bunyi seperti bunyi air menitik;
mengetus mengetuskan;
mengetuskan mengeringkan (beras yang dibasuh dan lain-lain) dengan membiarkan airnya menitik:
agar-agar dibasuh dan direndamkan sebentar, kemudian barulah dituskan airnya;
pengetus alat untuk mengetuskan (pinggan mangkuk dan lain-lain).
tus II
bunyi seperti bunyi senapang (mercun dan lain-lain), detus.
tusam
= kayu ~ sejenis tumbuhan (pokok), Pinus merkusii;
minyak ~ minyak turpentin (yang diperoleh daripada pokok tusam).
tuslah
[Indonesia-Belanda], [bahasa percakapan] bayaran tambahan (untuk tiket kereta api dan lain-lain).