tatang

menatang, bertatang [sastera lama] membawa sesuatu di atas tapak tangan, menating, menayang:
seorang budak lelaki belasan tahun keluar dari dalam ~ sedulang kopi hitam;
~ setahun hujan di langit, air laut masakan tawar
(peribahasa) nasihat yang baik itu tidak akan dapat mengubah kejahatan yang besar;
ditatang bagai minyak yang penuh = seperti ~ minyak yang penuh (peribahasa) sangat dikasihi dan dipelihara dengan sempurnanya;
ditatang di anak lidah (peribahasa) sangat kasih kepada anak isteri;

tatangan [kiasan] sokongan:
dia sentiasa memerlukan bantuan orang dan ~ orang.

tatap

menatap
1. memerhatikan dengan teliti, memandang dengan sungguh-sungguh:
ia ~ wajahnya puas-puas di cermin;
tiap-tiap kepala berita yang berhuruf kasar ditatapnya dengan hati-hati;

2. memandang, merenung, merenungi:
dia ~ kembali anaknya yang riang bermain itu;

tatapan
1. hal atau hasil menatap, pandangan:
bapa mengubah duduknya serta menatap muka ibu, satu ~ yang membawa pengertian yang dalam;

2. sesuatu yang ditatap, pandangan, renungan:
menjadi ~ orang ramai;

bertatapan saling menatapi satu sama lain:
mata kami ~;

penatap orang yang menatap(i).

tatar I

menatar mengajar (membimbing, memberikan kursus, dan lain-lain) untuk meningkatkan lagi kemampuan (pengetahuan, kecekapan, dan lain-lain);

penataran proses (usaha, kegiatan, dan sebagainya) menatar:
kursus ~ hendaklah diadakan dari semasa ke semasa;

penatar orang yang menatar, pembimbing (pengajar dan sebagainya) dalam penataran;

petatar orang yang mengikuti atau menjalani kursus penataran;

tatar II [Minangkabau];

menatar membidik.

tatarajah

1. susunan pelbagai bahagian atau unsur sesuatu menjadi rupa bentuk atau rajah tertentu:
~ bagi unsur-unsur ini ditunjukkan dalam Jadual 63;

2. (Komputer) kaedah penyambungan dan kandungan komponen yang terdapat dalam sesuatu sistem pada satu-satu ketika.

tatarias

usaha (cara dan sebagainya) mengatur atau menyusun hiasan untuk sesuatu yang akan dipertunjukkan, cara dan sebagainya menghias sesuatu (seperti muka, rambut, dan lain-lain).