duduk

1. beristirahat di atas punggung (seperti bersila, bersimpuh, dan lain-lain):
saya terpaksa ~ di atas pokok itu sahaja;
anak kecil itu ~ di atas pangkuan ibunya;

2. tempat letaknya:
skru itu tidak betul ~nya, senget;

3. terletak, berada:
sebuah lampu yang ~nya 3 meter dari lantai;
rumah kediaman bapa Busu ~nya di hujung suatu lorong;

4. = kedudukan keadaan yang sebenarnya (berkenaan (dengan) sesuatu hal dan lain-lain):
pekerjaan berternak kuda lain ~nya dengan bercucuk tanam;

5. tinggal (di), diam (di), menetap, berumah:
maka ~lah dia di Sungai Baharu menjadi khatib;
sudah bertahun-tahun mereka ~ di rumah itu;

6. terus berada (di sesuatu tempat), tinggal:
malam itu selepas makan, Bakar ~ di biliknya seperti biasa;

7. berkahwin, bernikah, bersatu:
Tun Teja sudahlah bertunangan dengan raja Pahang dan hampirlah akan ~;

8. hampas (kopi, teh, dan lain-lain);

9. = terduduk termendak atau mengendap (berkenaan (dengan) serbuk kopi, teh, bauran, dan lain-lain);

10. mempunyai tempat atau kerusi (di parlimen, majlis tertinggi, dan sebagainya), berada:
dia adalah salah seorang wakil rakyat yang ~ dalam Majlis Tertinggi Keselamatan Dalam Negeri;

11. [bahasa percakapan] sedang (melakukan sesuatu):
dia ~ termenung seorang diri;
~ menjahit (membaca, menulis,
dan lain-lain);
~ antara dua sujud
duduk selepas sujud yang pertama (di dalam sembahyang orang-orang Islam);
~ berapit duduk di antara dua orang;
~ berjuntai duduk di tempat yang tinggi dengan menjuntaikan kaki;
~ berlutut duduk dengan kaki dibengkokkan dan kepala lutut mengenai lantai, bertelut;
~ bernama bunga sekuntum duduk berlutut ketika mengangkat sembah;
~ bersila duduk dengan melipatkan dan menyilangkan kaki;
~ bersimpuh (bertimpuh) duduk dengan melipatkan kedua-dua belah kaki ke belakang;
~ bertindih lutut duduk di atas kerusi dengan sebelah lutut diletakkan di atas lutut yang satu lagi, bersila panggung;
~ bertinggung mencangkung;
~ perut mengandung;
~ berkelompok, tegak berpusu (peribahasa) orang yang duduk pada tempat selayaknya dalam sesuatu majlis;
~ berkisar tegak berpaling (peribahasa) mungkir janji atau tidak menepati cakap;
~ di ambung-ambung taji (peribahasa) orang yang selalu dalam kerunsingan;
~ di dalam tabir langit-langit berbau tembelang (peribahasa) perempuan yang berkurung dalam rumah tetapi kejahatannya diketahui orang;
~ dalam duri yang banyak, bersandar di tiang rengas (peribahasa) hidup yang serba salah kerana menghadapi bencana;
~ dengan cupak gantang (peribahasa) ketua yang adil;
~ dengan sukatan (peribahasa) orang yang kaya;
~ meraut ranjau, tegak meninjau jarak (peribahasa) orang yang sentiasa membuat kerja;
~ sama rendah, berdiri (tegak) sama tinggi (peribahasa) orang yang sama sedarjat;
~ sehamparan, tegak sepermatang (peribahasa) orang yang sedarjat dalam adat;
~ seorang bersempit-sempit, banyak berlapang-lapang (peribahasa) fikiran yang diperoleh daripada perbincangan lebih bernas daripada fikiran yang bersendiri;
~ seperti kucing, melompat seperti harimau (peribahasa) orang pendiam yang tangkas bekerja dan berfikir;
belum ~ sudah berlunjur menganggap sudah memperoleh atau memiliki sesuatu perkara yang belum pasti dapat dimiliki atau dikuasai atau bergirang dahulu sebelum maksud tercapai;
jikalau kita ~ di atas ciau emas sekalipun, lamun hati tiada senang juga (peribahasa) jika hati seseorang itu selalu susah dan resah, walau bagaimana senangnya tetap berduka juga;

duduk-duduk berehat-rehat (mengambil angin dan sebagainya):
sewaktu sampai di situ, aku melihat Said dan beberapa orang lain sedang ~ di bawah pokok;

berdudukan sedang duduk (di atas bangku, kerusi, dan sebagainya):
orang-orang yang ~ di bangku-bangku panjang di ruang menunggu itu memandang ke arah mereka yang baru memasuki ruang itu;

menduduki
1. mengambil tempat duduk, duduk di:
tikar terbentang diduduki;

2. = mengeduduki mendiami, tinggal di:
beberapa orang datang ke bilik yang diduduki orang baru itu;
rumah itu sudah lama tidak diduduki orang;

3. menakluki (mengalahkan) dan menguasai sesebuah negeri dan lain-lain:
penyerangan itu bermaksud hendak ~ Sri Wijaya;

4. mengambil (memasuki, mengikuti) sesuatu peperiksaan atau ujian:
mereka telah ~ peperiksaan itu dalam bahasa Inggeris pada tahun lalu;

5. duduk (berada) di (kerusi parlimen, majlis tertinggi, dan sebagainya):
beliau akan ~ kerusi dalam Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu;

6. [kiasan] memikat hati seseorang:
pemuda itu telah berjaya ~ hatinya yang kosong selama ini;

mendudukkan
1. meletakkan (menyuruh, mempersilakan) duduk:
maka baginda pun ~ anakanda baginda di atas singgahsana yang dua belas tingkat;
dia mengambil anaknya dan ~nya di atas ribanya;

2. mendapatkan kesimpulan (penyelesaian) sesuatu perkara;

3. mengahwinkan, menikahkan:
maka oleh Raja Aftabul-Ardl akan Raja Chulan itu didudukkan baginda dengan anakanda baginda tuan puteri Mathabul-Bahri;

terduduk
1. terjatuh duduk, duduk dengan tiba-tiba dan tidak sengaja;

2. mengendap atau terendap (serbuk kopi, teh, dan lain-lain);

kedudukan
1. tempat tinggal (yang didiami);

2. tempat letaknya:
~ Singapura di tengah-tengah jalan laut yang menghubungkan Timur dan Barat menyebabkannya menjadi pelabuhan yang begitu penting di Asia;

3. keadaan atau selok-belok (hal) sesuatu perkara (terutama pada masa tertentu), situasi:
sudah berkali-kali ia menerangkan ~ yang sebenarnya kepada penduduk-penduduk di situ;
~ politik (ekonomi
dan sebagainya);

4. tingkatan taraf (martabat, darjat, dan sebagainya):
tiap-tiap orang ada harapan untuk mendapat pangkat dan ~ yang tinggi dalam negaranya;

sekedudukan
1. sama tarafnya (martabatnya, darjatnya);

2. bersetubuh:
ada suami yang terus membunuh laki-laki yang ~ dengan isterinya sendiri;

bersekedudukan
1. bersetubuh:
terasa loya tekaknya, kerana rasa getik dan jijik ~ dengan orang tua bangka itu nanti;

2. tinggal bersama (seperti suami isteri) tanpa bernikah:
Cik Mah dihadapkan ke Mahkamah Syariah di atas tuduhan ~ dengan Kandasamy selama 27 tahun sehingga mendapat sembilan orang anak;

berkedudukan
1. mempunyai kedudukan (tempat letaknya), terletak, berada:
jarum penimbang itu diganjakkan sehingga ~ betul-betul pada nombor 0;

2. mempunyai kedudukan (taraf, darjat, dan sebagainya), bertaraf, berdarjat, bermartabat:
dia ~ tinggi di mata masyarakat;

pendudukan perihal atau perbuatan menduduki sesuatu daerah atau negara oleh kuasa luar (tentera dan lain-lain):
dalam masa ~ Jepun saya bekerja di Berita Malai;

penduduk orang yang menduduki sesuatu daerah (tempat, negeri, dan lain-lain):
tidak ada seorang pun daripada ~ kampung itu yang berani keluar melihat pembunuhan itu;

berpenduduk mempunyai penduduk:
Malaysia ~ lebih daripada 14 juta orang dalam tahun 1984;

kependudukan segala hal mengenai penduduk (sesuatu tempat, daerah, negeri, dan sebagainya):
aspek ~ dibincangkan dalam simposium itu.

berkongsi