tambera I

(Sanskrit) tembaga, piagam (undang-undang) yang tertulis pada tembaga:
jikalau tuan hamba tiada percaya, lihatlah dalam ~.

tambat

bertambat terikat (pada pokok, tiang, pancang, dan lain-lain), berlabuh dan terikat pada sesuatu (kapal):
kapal itu pun masuk ke kuala pelabuhan negeri Labuhan Puri dan terus rapat dan ~ di pangkalan besar;

bertambatan bertalian, terikat pada;
perahu ~ dagang bertepatan (peribahasa) melakukan sesuatu hendaklah sesuai dengan tempatnya;

menambat
1. mengikat dengan tali pada pancang (tiang dan lain-lain):
dia membiarkan Umbang turun ke pantai ~ perahu;

2. [kiasan] memikat, menawan, menarik (hati dan lain-lain):
dia telah berjaya ~ hati pembaca dan menimbulkan perasaan ngeri sampai akhir cerita;

menambati [sastera lama] menambat sesuatu pada:
segala pohon kayu itu sekaliannya ditambati puntung api;

tertambat
1. terikat (pada):
seekor kerbau ~ pada sebatang pokok;
perahu itu ~ pada sebatang tiang;

2. [kiasan] terpikat, tertawan, tertarik (hati, perhatian, dan lain-lain):
hatinya telah ~ dan bulat kepada Ismayatim;

tambatan
1. pancang dan lain-lain untuk menambatkan binatang (perahu dan lain-lain):
dari situ, mereka berjalan kaki menuju ke ~ kapal;

2. sesuatu (seperti tali dan sebagainya) untuk menambat:
mereka kemudian membuka tali ~ yang terlilit-lilit pada pokok pisang itu;

3. = ~ jiwa = ~ larat orang yang dikasihi (dicintai), kekasih;

pertambatan ikatan, pertalian, perkaitan;

penambat
1. alat untuk menambat, pengikat:
telah putuskah tali ~ kerbau itu?;

2. [kiasan] orang yang menambat (hati), pemikat.

tambang V

= ~ sisir sejenis tumbuhan (pokok renek), medang ketanah, medang merah, medang panjang, Ardisia teysamanniana.

Tambanuo suku kaum peribumi di Sabah, termasuk dalam rumpun kaum Kadazan Dusun.

tambang III

[Jakarta] tali yang besar untuk menambat binatang pada pokok (tiang dan lain-lain);
~ manuk simpul manuk;

menambang [kiasan] tidak mempedulikan isteri (tetapi tidak pula menceraikannya), menggantung tidak bertali;

menambangkan;
~ layar mengembangkan layar dengan tali.

tambang II

1. = wang ~ = harga ~ bayaran untuk membawa barang-barang dan lain-lain dengan kenderaan, sewa kerana menaiki kenderaan, sewaan:
kepulangannya itu adalah untuk menerima wang daripada datuknya untuk dibuat ~ belayar ke Mekah;

2. yang disewakan (kereta dan lain-lain), yang membawa penumpang (mengangkut barang-barang), sewaan:
kereta ~;
perahu ~;
sampan ~;

3. penumpang atau muatan kenderaan dengan membayar sewa;
~ malam [Perlis] tidak bertangguh (berlengah-lengah) lagi;

menambang
1. menaiki kereta (sampan dan lain-lain) tambang:
maka ~lah saya bersama-sama Grandpre pergi ke Kampung Laut;

2. mengangkut penumpang(muatan) dengan kereta (sampan dan lain-lain) tambang;

3. bekerja sebagai pembawa kereta (sampan dan lain-lain) tambang;

menambangkan menyewakan kereta dan lain-lain;

tambangan
1. perahu (sampan) tambang;

2. pangkalan tempat penumpang menyeberang dengan perahu (sampan) tambang;

3. wang tambang;

penambangan perihal menambang (menambangkan);

penambang orang yang mengangkut penumpang dengan perahu tambang;
perahu ~ perahu tambang.

tambang I

lubang yang digali untuk mengambil hasil bumi (emas, bijih timah, minyak, dan lain-lain), lombong;
~ besi lombong besi;
~ emas lombong emas;
barang-barang ~ bahan galian dari bumi (besi, emas, arang batu, dan lain-lain);

menambang menggali hasil bumi dari tanah, melombong (bahan tambang);

pertambangan segala sesuatu mengenai tambang, perlombongan.

tamban

sejenis ikan laut, Clupea spp.;
~ beluru
sejenis ikan laut, Clupea leiogaster;
~ betul
= ~ nipis sejenis ikan laut, Clupea peforata;
~ bontok
sejenis ikan laut, Clupea jussieu;
~ bujur (jalur, lopek, panjang, siantan)
sejenis ikan laut, Clupea fimbriata;
~ bulat (japuh, jebuh, jepuh)
sejenis ikan laut, Dussumieria hasseltii;
~ cencang rebung
sejenis ikan laut, Clupeoides lile;
~ setu
sejenis ikan laut, Clupea dispilonotus;
~ sisik

a) sejenis ikan laut, Clupea jussieu;
b) sejenis ikan laut, Clupea melanura.