formatif

yang berpengaruh untuk membentuk sesuatu (tabiat, budi pekerti, dan lain-lain):
pertuturan orang dewasa mempunyai fungsi ~ yang penting dalam memperkembang proses mental kanak-kanak.

format

1. bentuk dan rupa serta ukuran (saiz) tertentu sesebuah naskhah yang dicetak;

2. gaya atau susunan sesuatu rancangan penerbitan (mis siri TV) yang dipersembahkan;

memformatkan menyediakan (mengatur dan sebagainya) mengikut sesuatu format:
teks juga boleh diformatkan supaya lebih tersusun;

pemformatan perihal (proses, perbuatan dan sebagainya) memformatkan:
para penterjemah banyak menghabiskan masa membuat kerja penyuntingan, ~ dokumen, dan kerja yang berkaitan dengan leksikografi.

formasi

susunan (sekumpulan orang atau benda) dengan bentuk tertentu sambil melakukan pergerakan: selepas itu diperkenalkan pula ~ 4-4-2 serta 3-3-4, sistem piramid dan sebagainya;
~ penerbangan
corak atau pola penerbangan yang terbentuk oleh dua buah pesawat udara atau lebih yang terbang bersama-sama, biasanya dilakukan sebagai pertunjukan dan sebagainya.

formaliti

tindakan (langkah dan sebagainya) yang perlu dipatuhi mengikut peraturan (kelaziman) yang telah ditetapkan:
borang permohonan itu hendaklah diserahkan kepada majikan sebagai suatu ~ bagi setiap pemohon pekerjaan baru.

formalistik

terlalu berpegang kepada bentuk (ketentuan dan sebagainya) yang telah ditetapkan:
pendekatan ~;
tinjauan ~ .

formalis

individu atau golongan yang patuh kepada ketentuan (peraturan dan lain-lain) yang ditetapkan.

formalin

(Kimia) larutan berair yang terdiri daripada 37% – 50% formaldehid, yang digunakan sebagai bahan pengawet:
bau ~ yang tengik itu tidak lagi mengganggu deria kelompok yang sedang membongkok rapat ke abdomen mayat tersebut.

formaldehid

(Kimia) gas beracun, tidak berwarna, berbau sengit, digunakan sebagai pengawet dalam sintesis kimia dan dalam pembuatan resin sintetik.

formal

menurut peraturan (bentuk, ciri-ciri, cara, dan sebagainya) tertentu (yang sudah diterima atau yang dianggap wajar dan sebagainya), menurut aturan, menurut adat kebiasaan, rasmi:
berpakaian ~;
mengajar nahu secara ~;

memformalkan menjadikan formal;

keformalan perihal (keadaan, sifat dan sebagainya) formal:
laras ialah penggunaan bahasa yang ditentukan oleh beberapa faktor sosial, antaranya ialah taraf ~ situasi sewaktu bahasa digunakan;

pemformalan perbuatan (proses) memformalkan sesuatu.