timbul I

1. naik dari dalam air (lumpur dan lain-lain) hingga tampak pada permukaannya:
ikan itu ~ ke permukaan air dari semasa ke semasa untuk menyedut udara;

2. terapung-apung pada permukaan air, tidak tenggelam:
untung sabut ~, untung batu tenggelam;
batu ~
sejenis batu yang ringan dan terapung-apung pada permukaan air;
beras ~ kulit (kelongsong) padi yang terapung di air;

3. terkeluar (tersembul) sedikit dari permukaan yang rata;
gambar ~ gambar (lukisan dan lain-lain) yang tersembul pada latar belakangnya (ukiran pada batu dan lain-lain);
huruf ~ huruf yang menyembul pada permukaan kertas dan lain-lain;
peta ~ peta yang bahagian-bahagiannya menyembul untuk menggambarkan keadaan yang sebenar;

4. [kiasan] muncul, keluar, kelihatan:
kuman-kuman ini menyebabkan ~ bengkak-bengkak pada tubuh;
hilang-hilang ~
seketika kelihatan seketika tidak;

5. terlintas di hati;
berbangkit, datang:
dalam hatinya ~ keinginan untuk berumah tangga;

6. berlaku, terjadi:
pendirian yang berlainan ini menyebabkan kerap ~ perbalahan antara mereka;

7. terbit (bulan, matahari);
bulan ~
a) bulan terbit;
b) bulan baru (perhitungan kalendar);
~ tenggelam = tenggelam ~
a) seketika timbul seketika tenggelam (seperti benda yang diumbang-ambingkan ombak);
b) [kiasan] terkadang-kadang tidak, hilang timbul (berkenaan (dengan) seseorang, sesuatu kegiatan, dan lain-lain), ada kalanya beruntung (berjaya dan lain-lain) dan ada kalanya malang (kecewa dan lain-lain);
c) [kiasan] selalu berhutang;
d) [kiasan] terlalu sibuk (dalam pekerjaan);

bertimbulan timbul merata-rata, banyak yang timbul:
remis pun penuh di tepi pasir itu, ~ sendirinya, maka sebentar dipungut boleh dapat bergantang-gantang;
otot-otot ~ di sana sini;

menimbulkan
1. menyebabkan timbul (naik ke permukaan air dan lain-lain):
orang-orang di dalam kapal selam dapat melihat keadaan di atas muka laut dengan tidak payah ~ kapal itu;

2. [kiasan] mengemukakan (untuk diperbincangkan dan lain-lain), membangkitkan (perkara, persoalan, dan lain-lain):
beberapa perkara telah ditimbulkan dalam mesyuarat agung kesatuan tersebut;

3. [kiasan] menerbitkan (membangkitkan) sesuatu perasaan (seperti benci, cemburu, gembira, dan lain-lain):
sifatnya yang kasar ~ rasa benci orang terhadapnya;

4. [kiasan] menyebabkan berlaku (terdapat) sesuatu kejadian (keadaan, perkara, dan lain-lain), mengakibatkan, mendatangkan (mengadakan, menjadikan, dan lain-lain);
~ perang dunia menyebabkan berlakunya perang dunia;
~ kerumitan menyebabkan terdapatnya kerumitan;
~ kesan buruk mendatangkan (mengakibatkan) kesan buruk;

5. [Minangkabau] menutup kerugian, mencukupi (kekurangan, perbelanjaan, dan lain-lain), memperbaiki kesalahan (kecuaian dan lain-lain):
keuntungan ini digunakan untuk ~ kerugian dahulu;

timbulan (Seni bina) bentuk ukiran yang lebih tinggi daripada permukaan satah sesebuah karya;

penimbulan perihal (perbuatan dan sebagainya) menimbulkan:
cerita akan terus digerakkan untuk memasuki peringkat ~ krisis.

berkongsi