wati

[arkaik]

1. [sastera lama] alam, angkasa, langit (dalam kata majmuk);

2. bentuk yang menyatakan perempuan (seperti yang digunakan dalam perkataan peragawati dan seniwati).

watikah

surat dan sebagainya yang menjadi bukti sesuatu pengiktirafan (kuasa, hak, dan sebagainya) yang diberikan kepada seseorang:
pengisytiharan itu telah dibacakan oleh Menteri Besar Perak sebaik-baik sahaja beliau menerima ~ daripada Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.

watt-jam

unit kerja atau tenaga yang bersamaan dengan 1 watt kuasa elektrik yang digunakan selama 1 jam.

wau I

layang-layang yang dibuat daripada kertas dan buluh:
~ bulan;
~ kapal;
~ kemetek;
bagai ~ putus teraju
(peribahasa) putus harapan dan berserah kepada nasib;
laksana ~ melawan angin (peribahasa) membuat pekerjaan yang tidak mungkin terkerjakan.

wau II

1. huruf ke-26 abjad Arab (mempunyai nilai enam);

2. huruf ke-30 abjad Jawi;
tahun ~ tahun yang ketujuh dalam satu windu:
pada tahun Hijrah seribu seratus sebelas, tahun ~.

wau III

[kata seru] untuk melahirkan rasa kagum, terkejut, atau seronok:
~, besarnya ikan ini!

wawancara

soal jawab antara wartawan dan sebagainya dengan orang yang terkemuka dan lain-lain untuk mendapatkan keterangan (pandangan dan sebagainya) untuk disiarkan, temu ramah, temu bual, interviu;

berwawancara bersoal jawab antara wartawan dengan orang yang terkemuka dan lain-lain, bertemu ramah, bertemu bual;

mewawancara, mewawancarai mengadakan (melakukan) wawancara, menemuramah, menemu bual, menginterviu:
dari siang tadi sampai petang ini rajin sekali doktor Robert Winata memeriksa sambil mewawancarai diriku;
sebuah akhbar mingguan telah ~ beberapa orang pemuda bukan Melayu;

pewawancara orang (wartawan dan sebagainya) yang mewawancara, penemu ramah, penemu bual, penginterviu.